Syarikat kosmetik Sajat didenda RM14,500


shadow

Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman denda RM14,500 ke atas syarikat milik usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat kerana didakwa memiliki dan menjual produk kosmetik tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi.

Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli dalam keputusannya, menjatuhkan hukuman denda itu terhadap syarikat Nur Sajat Aesthetic Sdn.Bhd yang diwakili sendiri oleh Nur Sajat dan Ashaari Maznan selaku pengarahnya selepas mengaku bersalah atas 17 pertuduhan yang dihadapi.

Syarikat itu menghadapi 17 pertuduhan didenda RM1,000 untuk 12 pertuduhan pertama manakala RM500 untuk lima pertuduhan lain.

Mengikut kertas pertuduhan, syarikat itu didakwa memiliki produk “Esansue White 5mililiter, Aqua Skin Collegen’, Bio Swiss Bio-Celeren Stem Cell dan ‘Placenta Lucchine” yang tidak berdaftar.

Manakala ‘Soothing Ampaule dan Pure Collagen Ampaule’ pula didakwa tidak memiliki notifikasi.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Serai Wangi K16/K Seksyen 16, Shah Alam pada jam 11.40 pagi 15 Ogos 2018 di bawah Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Peraturan 18A(1) peraturan sama, Peraturan 7(1) peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi 50,000.

Kes telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Nor Afizah Latip.

Pagi tadi, kes ditangguh selama setengah jam untuk menunggu kehadiran Sajat.

Sajat dan Shaari yang diwakili peguambela Hasshahari Johari Mawi merayu Majistret supaya hukuman ringan dijatuhkan dalam kes ini.

“Majistret, saya rayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman minimum memandangkan perniagaan anak guam saya terkesan teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda