Jual Produk Tanpa Kelulusan KKM, Anak Normah Damanhuri Didenda RM10,000


shadow

Anak kepada pelakon Normah Damanhuri didenda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan memiliki produk tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk jualan.

Majistret M Barath menjatuhkan hukuman itu terhadap Rose Azlin ,46 tahun, selepas wanita yang juga kakak kepada Instafamous Liana Rosli atau dikenali sebagai Kak KM itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan Rose Azlin selaku orang kena saman (OKS) dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu.

Mengikut pertuduhan, Rose Azlin didakwa memiliki sebanyak 99 paket produk KM Sampah Cleanse untuk jualan di sebuah Subang Jaya pada 11.20 pagi, 21 Januari lalu.

OKS didakwa melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 30 (1) peraturan sama.

Dia boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun Rose Azlin yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan semasa kejadian produk-produknya masih dalam proses mendapatkan pengesahan KKM.

Tinggalkan komen anda