Lan A To Z Kini Tauke Buluh Lemang, 8,000 Batang Terjual Aidilfitri Lalu


shadow

Sebelum ini mengusahakan perniagaan syarikat menyewa peralatan sistem audio, bagaimanapun Lan A To Z mengakui pendapatannya merudum teruk akibat pandemik COVID-19 kerana banyak tempahan dibatalkan dan majlis tidak boleh diadakan.

Tidak hanya berpeluk tubuh, Lan yang pernah berniaga buluh lemang pada tahun lalu akhirnya mengambil keputusan untuk melakukannya sekali lagi bagi menyambung punca rezeki. Usahanya itu mendatangkan hasil apabila berjaya menjual kira-kira 8,000 batang buluh lemang.

“Jika diikutkan, saban minggu, jadual tempahan peralatan sistem audio yang saya usahakan sentiasa penuh. Apabila PKP dikuatkuasakan, saya termenung sekejap. Kemudian, apabila terfikir saya pernah berniaga buluh lemang, tahun lalu, saya terpanggil melakukannya sekali lagi.

“Alhamdulillah, perniagaan ini menjadi. Sepanjang Ramadan sehingga Aidilfitri, saya jual kira-kira 8,000 batang buluh lemang.

“Jadi apabila memikirkannya, tak jadi hendak terkilan. Sebaliknya, saya terus tersenyum,” katanya kepada BH Online.

Lan berkata, dia bekerjasama dengan masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan bekalan buluh yang dijual pada harga RM1.50 hingga RM2 sebatang. Meskipun, keuntungan tidak besar kerana perlu membayar RM1 bagi setiap batang buluh diperoleh, namun Lan masih bersyukur.

Malah, Lan berkata tempahan diterima tidak putus-putus meskipun perayaan Syawal telah pun tamat, dia mula menerima tempahan untuk perayaan Aidiladha pula.

Dalam pada itu,penyanyi yang lagu popular dengan lagu Itik Gembo-Gembo dan Darjat ini juga turut aktif menjual kuih-kuih tradisional antaranya kuih Lidah Buaya. Lan berkata dia mempromosikan jualan kuih itu di Facebook dan tempahan diterima saban hari.

Sudah tiga tahun menawarkan khidmat penyewaan peralatan sistem bunyi, Lan berkata dia tidak gemar meminta-minta, sebaliknya lebih suka berusaha sendiri untuk mendapatkan rezeki.

“Kalau tidak sihat, terbaring, itu lain cerita. Selagi boleh berjalan dan berusaha sendiri, saya buat apa sahaja yang boleh.

“Alhamdulillah, mulai hari ini, saya boleh menyambung perniagaan sewaan sistem audio. Saya sudah mula menerima tempahan, Alhamdulillah ramai yang menyokong saya,” katanya.

Tinggalkan komen anda