“Pasukan Baru FINAS Akan Terus Beri Perhatian Isu Harta Intelek” – Norman Abdul Halim


shadow

Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Norman Abdul Halim akan terus memberi perhatian terhadap isu berkaitan harta intelek menerusi tanggungjawab baru yang disandangnya dalam organisasi terbabit.

Memandang serius isu ini terutamanya membabitkan cetak rompak digital, isu berkaitan harta intelek akan diperjuangkan oleh pasukan baru yang menerajui FINAS.

“Isu berkenaan harta intelek dan hak cipta merupakan perkara yang sangat dekat dengan pemain industri. Menerusi kepimpinan baru, ia akan terus diperjuangkan dan pada masa yang sama, kita akan berusaha untuk mencari formula untuk melindungi perkara ini daripada serangan lanun cetak rompak.

“Sebenarnya, jika perkara ini diperincikan dan dihuraikan, banyak lagi isu dapat diperhalusi dan diteliti untuk mengatasi masalah yang ada,” katanya.

Norman ditemui di majlis sidang media bersama Pengerusi Baharu FINAS di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS, Hulu Klang pada Rabu.

Hadir dalam sidang media yang sama ialah Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid dan Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal yang menjalankan tanggungjawab sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Hassan Asbor Hassan Mutaat.

Tambah Norman, isu terbabit bakal dibincangkan dengan lebih mendalam lagi di mesyuarat ahli perbadanan yang diadakan dalam masa akan datang.

“Semestinya di mesyuarat ahli perbadanan yang akan datang, hal ini akan dibawa ke dalam mesyuarat. 

“Kita akan perincikan lagi untuk merealisasikan hasil perbincangan ahli perbadanan kepada satu rancangan tindakan. Kita juga akan tetapkan satu jangka masa yang sesuai untuk mencapai objektif itu,” katanya lagi.

Perlantikan Zakaria dan Norman yang berkuatkuasa pada 23 Mei lalu diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Senarai keanggotaan Ahli Perbadanan yang telah dilantik oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia selaras dengan peruntukan di bawah Akta 244 untuk tempoh dua tahun bermula 23 Mei 2020 sehingga 22 Mei 2022.

Zakaria menggantikan Datuk Hans Isaac yang berkhidmat sejak April 2019.

Tinggalkan komen anda