Ibu 6 anak jana pendapatan lumayan main PUBG


shadow

ROSLINDA Embran bukan seorang suri rumah biasa. Beliau menjadi perbualan orang ramai selepas memperoleh RM18,000 dengan bermain PlayersUnknown’s Battlegrounds (PUBG) – sebuah permainan pertempuran dalam talian.

Roslinda, yang lebih dikenali sebagai Lynda Embran di media sosial, membuat siaran langsung di atas talian ketika bermain permainan menerusi halaman Facebooknya, MissRose Gaming, yang kini memiliki 133,000 pengikut.

Beliau berkata bahawa suaminya, Farid Zakaria, adalah orang yang memperkenalkan permainan itu kepadanya.

Sebagai seorang pemain amatur, permainan ini sebenarnya adalah sebagai wahana mengisi masa lapangnya namun kemudian bertukar menjadi sumber pendapatan selepas beliau diminta untuk membuat siaran langsung di Facebook oleh abang iparnya.

“Ketika saya tengok permainan itu, saya rasa pelik tengok suami saya main, suami saya hanya tembak dalam permainan itu, namun kemudian dia meminta saya untuk cuba.

“Kemudian suatu hari ketika dia pergi kerja, saya pasang mainan itu dalam  dan main. Saya berjaya bunuh 10 orang dalam percubaan pertama saya. Saya rasa permainan ini bagus dan saya seronok.

“Kemudian ipar saya, yang juga bersiaran secara langsung, menasihatkan saya untuk siarkan permainan saya, bukan hanya sekadar bermain. Pada 22 Mac, 2019, saya buat laman Facebook dan mula siarkan perlawanan saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Roslinda berkata pada mulanya dia bermain selama sembilan jam sehari untuk mencapai sasarannya tetapi selepas menjadi rakan kongsi Facebook, dia hanya membuat siaran langsung tiga jam sehari.

Sukar untuk Roslinda menguruskan masa ketika beliau mula bekerja kerana perlu mencari masa untuk keluarga, terutama ketika dia sudah mempunyai enam anak, dengan anak sulung yang berusia 15 tahun dan yang termuda berusia dua tahun.

“Mula-mula bermain secara langsung dalam talian, saya bergelut kerana saya terpaksa bersiaran tiga kali sehari. Setiap sesi adalah kira-kira tiga jam, jadi jumlahnya kira-kira sembilan jam dalam sehari untuk mencapai sasaran saya.

“Biasanya, sesi ini adalah selepas anak-anak saya bersedia untuk ke sekolah, kemudian setelah mereka kembali dari sekolah dan pada sesi terakhir pada waktu malam sekitar 10 malam, dan selesai pada kira-kira pukul 1 pagi. Itulah jadual saya ketika saya mula. Kini saya telah bekerjasama dengan Facebook, saya hanya bersairan selama tiga jam sehari, “katanya.

Roslinda menambah bahawa jam yang dilaburkan tidak membazir kerana ia membantu meningkatkan jumlah penonton dan penyokong untuk halamannya, sekaligus memberikan pendapatan kepadanya.

Beliau menambah bahawa penonton dan penyokongnya akan berkongsi halamannya ke halaman PUBG lain di Facebook, hal itu membantu memperluas pengaruh halamannya di media sosial.

Pada masa ini, video siaran langsung Roslinda memiliki kira-kira 500 penonton dan tontonan selepas siaran langsung dilihat antara 15,000 hingga 100,000.

“Sebelum ini, saya mempunyai sedikit penonton. Seperti dalam masa tiga jam, saya hanya akan mendapat 40 orang penonton. Itulah sebabnya mengapa saya terpaksa bersiaran tiga kali sehari tetapi sekarang, saya biasanya mendapat kira-kira 200 hingga 500 penonton (untuk siaran langsung).

“Pembayaran yang kami terima adalah berdasarkan penonton kami. Apabila saya bersiaran, penonton biasanya akan memberi ‘bintang’. Bintang-bintang adalah bentuk gaji. Begitu juga dengan penyokong. Penyokong adalah mereka yang melanggan halaman saya untuk RM12.90 sebulan.

“Oleh itu, dengan bekerjasama (dengan Facebook), kita mempunyai pendapatan tetap tetapi pendapatan keseluruhan boleh berbeza-beza bergantung kepada penyokong dan penonton,” kata Roslinda yang dilahirkan di Sabah dan menambah bahawa beliau mengambil masa hampir tujuh bulan sejak mula bersiaran untuk memperolehi cek pertama.

Selain menjadi penyiar atas talian, Roslinda berkata, beliau kini telah membentuk pasukan untuk mengambil bahagian dalam kejohanan offline kerana wang hadiah menjadi lebih lumayan dalam pertandingan eSports, namun secara rendah diri menolak daripada menyertai pertandingan kerana beliau mendakwa dirinya masih seorang amatur.

Beliau berkata dua pasukannya, MissRose eSport Ladies (wanita) dan MissRose eSport (lelaki) berjaya memenangi satu kejohanan offline dan mencapai sampai ke peringkat akhir pertandingan.

“Sukan eSport, atau sukan elektronik, telah berkembang. Jika kita pergi pertandingan, wang hadiah sangat lumayan. Banyak pemain eSport jana wang yang banyak.

“Saya telah membentuk pasukan saya sendiri dengan beberapa pemain profesional dan menghantar mereka untuk perlawanan luar talian. Terdapat banyak pemain profesional di luar sana tetapi mereka kurang bimbingan. Itulah sebabnya saya membuat keputusan untuk membentuk pasukan saya sendiri dan membantu mereka,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadi penyokong kuat eSports. Beliau pernah berkata bahawa beliau berhasrat untuk memasuki industri berbilion dolar itu dan mengembangkan pertumbuhannya di Malaysia. Beliau juga berkata bahawa beliau akan mengubah Malaysia menjadi sebuah pusat berpengaruh dalam eSports.

Tahun lepas, ketika membentangkan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan akan memperuntukkan RM20 juta untuk esport pada tahun 2020.

Tembakan Roslinda untuk kemasyhuran tidak diterima secara meluas oleh semua orang. Ada yang mengkritiknya di media sosial kerana gagal memenuhi kewajipannya sebagai isteri dan ibu.

Bagaimanapun, Roslinda berkata dia tidak tersinggung dengan komen tersebut kerana suami dan keluarganya menyokong apa yang beliau lakukan.

Tinggalkan komen anda