Sabhi Sadhi sakit misteri?


shadow

ANGGOTA kumpulan One Nation Emcee yang juga pelakon Sabhi Sadhi diserang penyakit misteri apabila tidak dapat mengawal pergerakan dan kebas satu badan sehingga terhantuk kepala sewaktu beraksi di konsert Gegar Vaganza musim keenam (GV6), malam tadi.

Sebaik diumumkan layak ke minggu seterusnya, Sabhi tidak dapat berdiri dan hanya mampu duduk di atas kerusi yang disediakan di atas pentas.

Sabhi ketika ditemubual sebaik acara selesai berkata, dia ada masalah cakera tergelincir (slipped disc) tetapi ia berlaku lapan tahun lalu.

“Apa yang pelik, bermula Jumaat lalu sewaktu menjalani latihan di atas pentas GV6 tiba-tiba saya sakit belakang. Bagaimanapun rasa sakit itu berkurang apabila saya meninggalkan pentas.

“Keadaan semakin teruk ketika raptai penuh Sabtu lalu. Saya langsung tidak boleh bergerak, tubuh rasa kejang dan kaku.

“Mujur ketika itu ada suami Norshila Amin membantu,” katanya.

Menurut Sabhi, suami Norshila ada pengalaman mengubati penyakit misteri membaca ayat suci al-Quran sambil menekan kedua belah ibu jari kakinya.

“Selepas itu saya terus boleh berdiri dan menjalani latihan seperti biasa,” katanya.

Jelas Sabhi lagi, sebaik raptai habis dia bergegas ke hospital untuk melakukan pemeriksaan namun pegawai perubatan bertugas mengesahkan dia sihat dan tiada simptom cakera tergelincir.

Sakit itu bagaimanapun kembali dirasai apabila dia mengadakan persembahan semalam. Disebabkan itu, Sabhi tidak dalam mengawal pergerakan di akhir persembahan hingga badannya jatuh terhempas ke lantai dan kepalanya terhantuk kuat.

“Entahlah, susah untuk saya jelaskan apa yang berlaku. Kalau boleh saya tidak mahu kaitkan apa yang berlaku ini ada kaitan dengan perkara mistik.

“Namun, nak nafikan pun tak boleh sebab badan saya memang sakit,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda