Ainul dah buang air kecil sendiri – Ali Puteh


shadow

“KEADAAN anak saya masih sama sejak semalam dan tiada apa yang berubah,” kata pelawak Ali Puteh mengenai perkembangan anak keduanya, Sharifah Nur Ainul Mardhiah selepas menjalani pembedahan akibat masalah injap jantung terbalik pada Isnin lalu.

Ali ketika dihubungi berkata, selain masih bergantung dengan mesin bantuan pernafasan, Ainul menunjukkan sedikit tanda positif apabila sudah membuang air kecil sendiri.

“Hari ini Ainul sudah buang air kecil sendiri, walaupun masih bergantung dengan mesin, perkembangan itu melegakan sedikit hati saya kerana sekurang-kurangnya masih ada maklum balas daripada tubuh badannya.

“Apa pun saya tidak akan berhenti berdoa dan terus mengharapkan keajaiban daripada Allah SWT serta doa daripada orang ramai,” katanya.

Ali yang juga sedang sibuk menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega 2019 berkata, dia tidak akan berhenti daripada menyertai program berkenaan kerana itu adalah sumber pencarian utamanya.

“Saya akan terus menyertai program ini kerana selain tidak mahu menyusahkan ahli Puteh yang lain, ia juga adalah punca rezeki saya.

“Dengan menyertai program seperti inilah saya dapat wang untuk menampung keluarga dan membiayai rawatan anak,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, keadaan Ainul yang terpaksa bergantung dengan mesin bantuan pernafasan sepenuhnya selepas menjalani pembedahan.

Sehingga kini keadaan Ainul yang kini berusia tiga bulan masih kritikal.

-myMetro

Tinggalkan komen anda