Aktor James Franco dituduh terbabit eksploitasi seks


shadow

LOS ANGELES: Dua wanita memfailkan dakwaan terhadap aktor Hollywood, James Franco, 41 menuduh beliau memperdaya gadis muda untuk melakukan uji bakat dengan berbogel serta melakonkan babak seks di sekolah perfileman palsu kendaliannya.

Pendakwaan yang difailkan di Mahkamah Agung Daerah Los Angeles itu menuduh aktor yang pernah dicalonkan anugerah Oscar itu mengeksploitasi pelakon baru di sekolah terbabit yang tidak lagi beroperasi.

Peguam Franco, Michael Plonsker dalam satu kenyataan berkata anak guamnya tidak menerima sebarang notis awal mengenai pendakwaan ini.

“James bukan saja akan mempertahankan dirinya, beliau juga akan mendapatkan ganti rugi dari plaintif dan peguam mereka kerana memfailkan publisiti yang menjijikkan ini untuk mendapatkan tuntutan mahkamah,” kata Plonsker.

Menurut pendakwaan itu, dua pelakon wanita, Sarah Tither-Kaplan dan Toni Gaal, berkata mereka mendaftar di sekolah perfileman Franco, dikenali sebagai Studio 4 pada tahun 2014.

Mereka menuduh Franco dan dua lagi lelaki yang terbabit dengan syarikat produksi dan sekolah terbabit melakukan diskriminasi seks, gangguan seksual, penipuan dan kesalahan lain.

Franco yang popular menerusi filem termasuk ‘127 hours’, ‘Spider-Man’ dan ‘The Disaster Artist’ itu pernah memakai pin gerakan Time’s Up di Anugerah Golden Globe pada 2018, yang menyokong mangsa gangguan seksual. – Reuters

Tinggalkan komen anda