Tumpuan kini pada SPM


shadow

BAKAT seni pelakon dan pengacara remaja, Mohd Wafiy Ilhan Johan, 17, mula diketengahkan ketika dia berusia lima tahun menerusi program Tom Tom Bak pada 2008.

Kini, selepas 12 tahun berlalu Wafiy nyata berjaya membuktikan bakat seni dimilikinya apabila sering mendapat peluang berlakon dan mengacara program televisyen.

Mengimbau kenangan lalunya ketika menyertai program Tom Tom Bak, Wafiy yang berasal dari Sabah berkata, semuanya bermula daripada dorongan ibunya.

“Sejak kecil, saya memang suka bercakap. Jadi, apabila ada sesi uji bakat program Tom Tom Bak di Kota Kinabalu ketika itu, ibu mengesyorkan saya mencuba nasib.

“Saya pun dengan semangat yang ada turutkan sahaja dorongan ibu dan tidak menyangka berjaya pula dipilih dalam sesi uji bakat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pertama kali muncul dalam program Tom Tom Bak itu yang dihoskan Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil, dia mengakui berasa seronok sepanjang ditemu bual.

“Ketika itu, saya seronok sangat berbual dengan Pak Nil dan rasanya tak mahu berhenti langsung. Saya jadi sedih apabila sesi bual bicara kami berakhir.

“Bagaimanapun, inilah yang dinamakan pengalaman. Malah, saya pun tidak menduga akan berpeluang mengorak langkah dalam karier seni diceburi sejauh ini,” katanya.

Wafiy yang muncul membintangi filem Warkah arahan Opie Zami baru-baru ini berkata, untuk tahun ini, dia memperlahankan seketika perjalanan kariernya.

Katanya, ia berikutan dia akan mengikuti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dan berharap akan berjaya dalam akademik.

“Biarpun karier seni saya kini stabil dan terbabit mengacarakan beberapa program televisyen, pelajaran tetap diutamakan. Saya mahu berjaya dalam pelajaran juga.

“Jika ada peluang, saya mahu melanjutkan pengajian hingga ke menara gading. Bagi saya, biarlah pelajaran dan karier seni diceburi bergerak seiring,” katanya.

Sehubungan itu, Wafiy berkata, dia mengharapkan peminat yang menyokong karier seninya selama ini dapat mendoakan kejayaannya dalam pelajaran terutama peperiksaan SPM nanti.

Bagaimanapun, Wafiy juga seorang pengacara dalam ‘Club Mickey Mouse’ yang disiarkan saluran Disney (Astro 615) bersama pengacara lain seperti Charis, Dheena, Erissa, Faiz dan Gabriel.

-myMetro

Tinggalkan komen anda