Angkat karya Sasterawan Negara


shadow

SASTERAWAN Negara (SN) sewajarnya diletakkan di status yang lebih tinggi memandangkan ilmu, jasa dan bakti mereka yang tidak ternilai kepada bangsa serta negara.

Oleh itu, buat julung kalinya, Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani Events) akan bekerjasama dengan Persatuan Teater dan Seni (Pentas) Selangor bagi menganjurkan acara Gempita Sastera-Sasterawan Negara 2019.

Acara yang dijangka berlangsung pada 7 hingga 13 Oktober depan akan mengangkat karya daripada tujuh SN untuk dipersembahkan dalam bentuk teater.

Pengarah Stefani Events, Fauziah Nawi berkata, Gempita Sastera-Sasterawan Negara 2019 adalah platform bagi aktivis teater Malaysia yang memiliki misi dan objektif sama, berkolaborasi serta berkongsi ilmu seni pentas dalam memartabatkan kesusasteraan dan seni persembahan Melayu melalui penghayatan karya agung SN.

“Idea ini timbul apabila saya berbincang dengan kawan daripada kumpulan teater di Selangor, Kuala Lumpur dan Persatuan Teater Malaysia.

“Dari situ, saya melihat kenapa kami tidak bekerjasama untuk mengangkat naskhah hebat daripada SN kita?

“Stefani Events dikenali sebagai satu syarikat kecil yang mengangkat naskhah SN dan ini kali pertama kami berkerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) teater dan ia pembelajaran untuk kami,” katanya.

Menurutnya, dia banyak belajar dengan kumpulan sedia ada dan berharap kesatuan itu dapat dikekalkan menerusi seni dan budaya negara terutama dalam meng-angkat naskhah hebat SN.

“Tujuh naskhah SN yang dipilih untuk diangkat karya mereka dalam pementasan teater ialah Baha Zain (Topeng-Topeng), Zurinah Hassan (Menghadap ke Pelabuhan), Ahmad Kamal Abdullah/ Kemala (Meditasi), Muhammad Salleh (Selamat Pulang, Juita), A Samad Said (Daerah Zeni), Anwar Ridhwan (Orang-Orang Kecil) dan Noordin Hassan (Jangan Bunuh Rama-Rama).

“Kumpulan teater yang bakal terbabit dalam pementasan ini ialah Stefani Events, Pentas Selangor, Ceritera, Tronoh Theatre Shop, Teater Hidayah, Teater Melayu Subang, dan Alumni Artis Penjuru Alam.

“Persembahan mereka dibuat mengikut cabutan undi. Oktober adalah tarikh paling cepat program ini akan dilangsungkan. Stefani Events akan membuka pentas pada malam pertama menerusi naskhah Topeng-Topeng,” katanya.

Fauziah berkata, perancangan mereka sangat besar dan tempat yang dicadangkan untuk persembahan itu ialah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) atau Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor.

“Kami masih dalam perbincangan dengan pihak terbabit. Sekira-nya jadi, majlisnya bukan saja berlangsung dalam auditorium, tapi juga di bahagian luar apabila peminat akan dapat lihat kami mengangkat SN secara besar-besaran.

“Kami meletakkan sasaran untuk mengumpul dana RM260,000 bagi penganjuran program ini. Sememangnya sukar buat penggiat teater untuk mencari penaja.

“Tapi kami bertekad, sama ada dapat duit atau tidak akan teruskan dengan cara sendiri. insya-Allah ada beberapa syarikat yang menyatakan persetujuan untuk bersama kami,” katanya.

Menurutnya, mana-mana pihak yang menaja akan mendapat pelepasan cukai daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Saya berharap kami dapat melakukan sesuatu yang magis untuk projek ini. Harga bayaran masuk untuk menyaksikan pementasan ini akan diumumkan kemudian,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda