UNIC perjelas lagu ‘Padu Bossku’ bukan bermotifkan politik


shadow

Lagu terbaru kumpulan nasyid UNIC, “Padu Bossku” diilhamkan daripada perwatakan Rasulullah SAW dan langsung tiada kaitan dengan mana-mana ahli politik.

UNIC yang tampil menjelaskan kekeliruan itu berkata pencipta lagu berkenaan, Harry berkata idea untuk menghasilkan irama lagu berkenaan serta penggunaan ungkapan “bossku” itu datang daripada kelaziman orang Sabah bercakap.

“Saya sudah hasilkan lagu ini pada dua tahun lalu dan ideanya datang daripada penggunaan perkataan bossku oleh penduduk Sabah.

“Jadi, apabila ada netizen menganggap lagu ini ada kaitan dengan ahli politik, itu tidak benar,” kata pemain gitar kumpulan Khalifah itu memetik laporan Harian Metro hari ini.

Lagu “Padu Bossku” adalah hasil ciptaan Harry dan liriknya pula oleh Achoi Floor 88.

Lagu tersebut juga mencapai 665,000 tontonan sejak dimuat naik di YouTube sebulan lalu.

Tambah Harry, perkataan “bossku” juga tidak digunakan untuk meraih populariti atau mengambil kesempatan terhadap mana-mana situasi sekarang.

“Saya tidak hasilkan lagu ini untuk menumpang populariti sesiapa atau apa-apa situasi.

“Kebetulan, lagu ini kami keluarkan selepas perkataan bossku mula diguna pakai oleh banyak pihak.

“Maka orang menganggap lagu ini adalah untuk tumpang populariti,” katanya.

Sebelum ini, lagu-lagu UNIC lebih terarah kepada nasyid, namun kini kumpulan itu lebih berani untuk mendalami pelbagai genre muzik.

Tinggalkan komen anda