‘Tunggu arwah tak sampai-sampai’ – Shukri Yahaya


shadow

“ARWAH bukan saja seorang pemimpin, seorang abang yang baik. Pemergiannya membuat kami betul-betul kehilangan,” kata pelakon, Shukri Yahya mengenai kematian pengarah filem dan drama, Raja Ahmad Alauddin Raja Mohamed Redzuan, hari ini.

Allahyarham yang masih bujang meninggal dunia ketika sedang tidur di rumahnya di Bandar Seri Damansara, Petaling Jaya, jam 6 pagi.

Shukri berkata, sebelum itu dia bersama pelakon serta kru produksi menunggu kehadiran Raja Ahmad Alauddin untuk memulakan penggambaran drama Pesan Pada Hati di Balakong, Selangor.

“Penggambaran drama itu sudah bermula tiga minggu lalu dan kebiasaannya arwah tiba awal sebelum 6 pagi.

“Tapi pagi tadi kami pelik kerana dia tidak tiba menyebabkan beberapa kru bergegas ke rumahnya,” katanya.

Menurut Shukri, Pengurus Produksi Pena Creative Pictures, Mohd Syahidan Hassan mengetuk kediaman arwah namun tiada sebarang jawapan.

“Sebelum itu kami menelefonnya beberapa kali tetapi tidak berjawab. Jadi, kami menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa yang tiba tidak lama kemudian berjaya memecahkan pintu dan mendapati arwah terbaring di katil dan sudah meninggal dunia.

“Kami sedih selepas dimaklumkan arwah sudah meninggal dunia ketika tidur. Sepanjang perkenalan arwah seorang abang yang baik dan sentiasa ceria,” katanya.

Shukri berkata, penggambaran drama sepatutnya berakhir bulan depan dan mereka kini menunggu keputusan daripada penerbit.

Jenazah dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, Selangor selepas solat Zuhur, hari ini.

-myMetro

Tinggalkan komen anda