Tangan Maya Karin cedera kena periuk panas


shadow

PELAKON terkenal, Maya Karin cedera teruk pada pergelangan tangan gara-gara terkena periuk panas.

Maya ketika dihubungi berkata, kejadian itu berlaku pada Selasa lalu bagaimanapun luka pada tangan kanannya itu semakin teruk pada hari ini.

“Kejadian itu berlaku pada Selasa lalu, tetapi hari ini luka semakin teruk. Luka basah dan bernanah. Adik saya pun marah sebab tak jaga luka dengan baik.

“Malam kedua saya hanya balut dengan tudung ibu. Tapi apabila melihat luka tidak ada tanda untuk sembuh, ibu ke klinik dan belikan ubat.

“Saya belum ke klinik lagi untuk rawatan lanjut kerana jadual terlalu padat. Sekarang pun saya dalam perjalanan ke Grik sebab ada acara yang perlu dihadiri,” katanya.

Katanya, dia menggunakan kain kasa dan menyapu ubat yang dibeli oleh ibunya bagi mengelakkan jangkitan selain memastikan kecederaan itu sentiasa kering.

TANGAN Maya Karin luka teruk ketika alihkan periuk ke sinki. FOTO: Instagram Maya Karin

Kata Maya, kejadian itu berlaku ketika dia sedang mengalihkan periuk yang berisi air panas dari dapur ke sinki.

“Salah saya juga sebab selepas insiden masih degil untuk basuh pinggan sedangkan luka itu perlu sentiasa kering.

“Cuma, selepas saya letakkan ubat yang ibu belikan nampaklah luka itu semakin kering. Saya cuma perlu jaga dengan rapi,” katanya.

Menurutnya, insiden itu berlaku kerana dia menahan periuk berkenaan terlepas daripada tangannya.

“Cara saya pegang periuk itu kurang stabil jadi saya tahan dengan tangan. Walaupun dah rasa panas tetapi sebab mahu elakkan tumpah di kaki dan terkena ibu, maka saya tahan sampai ke sinki,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda