‘Serlah kemampuan vokal saya’


shadow

KUALITI vokal Juara Akademi Fantasia Megastar ini tidak perlu dipertikaikan. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan Idayu antara penyanyi wanita yang memiliki vokal mantap sekali gus meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri.

Kehebatan vokal dimiliki Idayu, 34, atau nama sebenarnya Nur Farah Idayu Yaakob turut terserlah apabila dapat meniru suara beberapa penyanyi popular hingga tular di Internet.

Enggan menunggu lama, Idayu yang sebelum ini muncul dengan Ganti Diriku yang juga lagu tema drama Nur, kini mempertaruhkan pula lagu Yang Ku Rindu hasil ciptaan Yunfadzil, Yazer Yusof dan Jass serta lirik oleh Ikhwan Fatanna dan Yazer Yusof.

Idayu berkata, Yang Ku Rindu mempunyai kekuatan dari segi susunan muzik dan ia berbeza daripada keba­nyakan single yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“Saya berasakan lagu ini amat berbeza dari segi susunan muzik jika mahu dibandingkan dengan single terdahulu. Bunyinya lebih matang dan saya dapat menonjolkan lagi kemampuan vokal saya.

“Sejujurnya, sudah lama saya tidak mendapat lagu seperti ini sejak lagu Kasih Yang Terpisah ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hasan dan Putus ciptaan Yunfadzil. Jadi, saya melihat dua eleman ini sebagai kekuatan dan kelebihan lagu ini,” katanya.

Menurut Idayu, bagi mendapatkan hasil terbaik, lagu itu melalui beberapa kali proses penambahbaikan.

“Sebenarnya lagu ini sudah dicipta lama dan melalui proses penambahbaikkan dari semasa ke semasa terutama susunan muzik. Ia dibuat dengan teliti untuk menghasilkan kesinambungan lagu yang baik dan mempunyai elemen kejutan.

“Proses rakaman vokal pula mengambil dua jam saja memandangkan saya sudah dapat lagu ini agak lama. Jadi ia sudah sebati dan tahu hala tuju lagu ini. Sementara proses ‘mixing’ dan ‘mastering’ pula mengambil masa tiga minggu untuk mendapatkan hasil yang terbaik,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjasamanya dengan ketiga-tiga komposer itu, Idayu berkata, setiap daripada mereka mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

ALBUM terbaru Idayu.

“Saya senang bekerjasama dengan Yazer kerana sudah lama berkawan baik iaitu sejak Akademi Fantasia musim ketiga. Terus terang saya masih belum pernah bertemu dengan Jass kerana dia menetap di Sabah.

“Yunfadzil pula adalah suami saya dan tentunya dia lebih memahami kehendak dan cita rasa saya dalam lagu. Susunan lagu yang dihasilkannya sangat kena untuk mengimbangi kekuatan vokal saya,” katanya.

Apa yang pasti, Idayu mengharapkan magis lagu itu untuk membawa nama­nya ke depan.

“Saya berharap lagu ini dapat memuaskan hati semua orang terutama peminat yang tidak pernah berhenti menyokong saya selama ini. Saya juga berharap lagu ini akan menjadi satu kebanggaan buat peminat dan mampu mewarnai lagi industri muzik tanah air

“Keunikan lagu ini terdapat pada kematangan vokal saya dari segi penyampaian dan semestinya susunan lagu yang baik. Saya berikan yang terbaik dari segi vokal dan praktikkan teknik vokal yang dikuasai sebaik mungkin.

“Lagu ini mempunyai ‘range’ yang sangat besar. Satu cabaran juga untuk mengetengahkan nada rendah dan nada tinggi ‘whistle’ dalam lagu ini,” katanya.

Khas buat peminat Idayu, lagu Yang Ku Rindu edaran Seventeen Eleven Music Sdn. Bhd ini boleh dimuat turun di semua digital platform seperti Apple Music, iTunes, Spotify, JOOX, KKBOX dan Deezer. Nantikan muzik video rasmi bakal di lancarkan pada 16 Ogos ini.

-myMetro

Tinggalkan komen anda