Obses media sosial, kanser baru masyarakat – Waris


shadow

“BUKAN hanya selebriti tapi saya lihat masyarakat sekarang turut taasub mengejar perhatian semata-mata untuk mendapat tanda suka (likes) atau pengikut yang banyak,” kata penyanyi Waris mengenai kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram miliknya baru-baru ini.

Waris atau nama sebenarnya Muzammil Alias, 30, berkata kebanyakan masyarakat hari ini gemar memuat naik benda negatif di laman sosial hingga mengakibatkan mereka berdepan tekanan perasaan apabila segala yang diharapkan tidak menjadi.

“Akibat terlampau obses dengan media sosial, mereka jadi tidak positif. Saya rasa zaman sekarang penyakit depresi dan gangguan kebimbangan menjadi kanser baru buat masyarakat kita.

“Saya banyak terima mesej peribadi daripada penyanyi rap baru bertanya bagaimana untuk menaikkan nama kerana tidak mendapat jumlah pengikut atau ‘likes’ yang tinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran cawangan ke-22 MBH Skin Expert di Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Terdahulu Waris memuat naik status yang bertanyakan mengenai rakyat sekarang lebih cenderung menularkan benda negatif serta gemar menarik minat kemarahan umum berbanding menyebarkan mesej positif.

Menurut Waris, ketaasuban terhadap media sosial sememangnya menjadi penyakit yang semakin membimbangkan buat masyarakat Malaysia.

“Demi meraih pengikut dengan cepat serta taasub untuk meraih ‘likes’, ada yang sampai jadi depresi. Saya tak salahkan mana-mana pihak yang mahu mencari populariti tapi biarlah untuk tujuan dan cara betul.

“Namun apabila sesuatu yang diharapkan tidak menjadi, mereka jadi sakit. Lebih membuatkan saya sedih apabila melihat seorang individu yang pulang ke kampung berjumpa ibunya tapi sekadar untuk menghidangkan kepada pengikutnya.

“Tidak pula, dia membantu mengemas rumah atau meringankan beban ibunya. Saya rasa penyakit ini perlu segera ditangani. Jangan sampai ia memakan diri,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda