Kejutan hari jadi Amyra


shadow

PELAKON kesukaan ramai, Amyra Rosli menerima kejutan daripada peminatnya sebaik diraikan dalam sambutan hari lahir ke-28 di Serena Hall, Batu Caves, Gombak, Sabtu lalu.

Pelakon drama Cik Bunga Encik Sombong yang tiba bersama suami, Amar Baharin, 34, dan anak mereka, Aqeef Anaqi diberikan kejutan oleh 50 ahli Amyra Rosli Supporters (ARS).

“Saya tidak menjangkakan penganjuran majlis ini kerana pada mulanya diajak keluar makan.

“Saya pelik apabila dibawa ke dewan dan terkejut melihat 50 ahli ARS menunggu di hadapan pintu,” katanya ditemui RAP sebaik program berakhir.

Pelakon drama Jodoh itu memberitahu, peminatnya menyanyikan lagu ulang tahun kelahiran dengan iringan petikan gitar beramai-ramai.

“Mereka sangat nakal, setia dan menyayangi saya sepanjang lapan tahun bergelar artis.

“Sekalung penghargaan buat ARS yang sanggup menganjurkan majlis ini biarpun tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Bagi tahun sebelumnya, Amyra memberitahu ARS turut menganjurkan majlis sama dalam pelbagai cara dengan melakukan gimik.

“Sepanjang perkenalan ini, peminat tidak pernah melupakan saya. Mereka sentiasa memberikan kejutan biarpun selama ini kami banyak berhubung melalui media sosial.

“You are always in my heart (Anda semua sentiasa dalam hati saya), I love you all (Saya sayang anda semua),” kata Amyra ketika memberikan ucapan di atas pentas.

Menurutnya, dalam majlis itu diadakan aktiviti memotong kek, ramah mesra bersama peminat, persembahan akustik, cabutan bertuah dan bergambar kenangan.

Mengulas perkembangan seninya, Amyra memberitahu sedang menjalani penggambaran drama 20 episod berjudul Cemburu Seorang Perempuan yang dijangka ditayangkan bulan depan.

“Setakat ini penggambaran sudah memasuki hari kesembilan. Biarpun mengandung ketika ini, saya gagahkan diri kerana mahu terus aktif dalam industri hiburan,” katanya.

AMYRA di sisi Amar dan Aqeef.

Dia yang turut membintangi drama Nur 2 memaklumkan perlu kuat biarpun kandungannya sudah berusia dua bulan.

“Saya perlu bekerja keras dan menjadi seorang ibu dan isteri yang kuat. Alhamdulillah suami, ibu dan ayah sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi,” katanya.

Adakalanya Amyra menjalani penggambaran sehingga jam 3 pagi dan ia sedikit pun tidak melunturkan semangatnya.

Kata Amyra, bayi keduanya dijangka dilahirkan pada Februari tahun depan yang sememangnya dinantikan oleh ahli keluarga.

“Saya tidak kisah untuk menimang sama ada bayi lelaki atau perempuan. Bagi saya, ia rezeki Allah yang akan dijaga dengan baik,” katanya.

Bagi pengalaman mengandung buat kali kedua, Amyra tidak berdepan situasi mual ataupun muntah.

“Alhamdulillah, saya sudah memiliki pengalaman ketika mengandungkan Aqeef dan dapat mengendalikan diri sama ada sewaktu lakonan atau berada di luar rumah,” katanya.

Pemenang Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian pada Anugerah Skrin ke-22 itu berkata, buat masa ini ibunya, Noor Zaridah Ahmad menguruskan kariernya termasuk memberikan nasihat berhubung kandungannya.

“Saya memiliki ibu yang baik, suami memahami dan kehidupan yang amat sempurna. Saya menzahirkan jutaan terima kasih kepada keluarga termasuk peminat yang sentiasa menyokong,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda