Imbau zaman kegemilangan


shadow

KUMPULAN Exists bukan nama asing di persada muzik tanah air sejak penubuhannya hampir tiga dekad lalu.

Bukan saja melakar kejayaan dengan lapan album jualan platinum, Exists turut menembusi pasaran album di negara jiran iaitu Singapura, Brunei dan Indonesia pada zaman kegemilangannya dulu.

Antara rangkaian lagu popular Exists yang masih menjadi siulan peminat hingga hari ini ialah Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara, Jesnita, Kerana Percayakan Siti, Masih Terserlah Ayumu dan Mama Tolonglah Percaya.

Namun, kumpulan Exists tidak mampu bertahan lama kerana mereka akhirnya berpecah dan anggota asalnya turut membawa haluan sendiri termasuk bergerak secara solo.

Sekian lama menyepi, Exists kembali dengan konsert reunion yang turut menyatukan semula anggota asal kumpulan itu selepas 28 tahun penubuhannya.

Menurut bekas pemain keyboard Exists, Ajai atau Mohd Faizal Maas, 42, konsert skala besar itu juga julung kali dianjurkan dan bakal melakar sejarah tersendiri dalam industri muzik tanah air.

“Bukan mudah untuk menyatukan semula anggota asal Exists kerana masing-masing sudah membawa haluan sendiri selepas berpecah.

“Namun, ia berjaya direalisasikan selepas perbincangan bersama semua anggota asal pada tahun lalu,” katanya.

Berkongsi mengenai konsert reunion itu kata Ajai, amat bermakna buat mereka kerana mengimbau semula nostalgia zaman kegemilangan Exists satu ketika dulu.

“Ada 20 lagu popular Exists yang digubah semula khusus untuk disampaikan pada konsert dua jam nanti.

“Selain di Shah Alam, konsert reunion juga akan diadakan di Singapura pada 5 Oktober depan. Tidak ketinggalan juga penerbitan dokumentari yang menceritakan jatuh bangun Exists dalam industri muzik,” katanya.

Selain konsert reunion, Ajai berkata, ia turut membabitkan pembikinan album baharu dan mereka baru selesai merakamkan single berjudul Tak Berakhir.

“Tak Berakhir dicipta saya bersama Along manakala liriknya oleh Musa dan menampilkan gandingan vokalis Mamat dan Ezad. Lagu ini juga akan disampaikan mereka pada konsert reunion nanti.

“Lebih bermakna, lirik lagu ini menceritakan mengenai hubungan anggota Exists secara peribadi dan projek penyatuan semula,” katanya.

Selain Ajai bermain keyboard, konsert reunion Exists akan menggabungkan semua anggota asal iaitu Musa (bass), Along (gitar), Shah (gitar), Ujang (dram) dan dua vokalis iaitu Mamat dan Ezad.

EXISTS. FOTO Rendha Rais

Mamat dan Ezad teruja

Konsert Reunion Exists bakal menyaksikan gandingan mantap dua vokalis Mamat, 42, dan Ezad Lazim, 39.

Menurut Mamat, dia memang menanti peluang untuk beraksi di pentas konsert reunion sekali gus mengembalikan semula nama Exists dalam industri muzik tanah air.

“Saya berasa gementar menjelang hari konsert nanti. Saya berdepan dengan cabaran besar kerana perlu membuat persediaan rapi termasuk melakukan latihan intensif bersama anggota Exists lain.

“Maklumlah, saya menyertai Exists pada usia 13 tahun sejak penubuhan kumpulan ini pada 1991.

“Apa yang mencabar, saya perlu menghafal semua lirik lagu popular yang pernah dinyanyikan ketika zaman popular Exists dulu. Pastinya ada perbezaan ketika dulu dan sekarang kerana vokal saya belum pecah ketika itu.

“Namun, susunan muzik digubah semula sesuai dengan vokal saya sekarang.

“Mengikut perancangan, saya akan menyampaikan 12 lagu termasuk Untukmu Ibu dan Rahsia Pohon Cemara,” katanya.

Apapun, Mamat berharap peminat yang membesar dengan kumpulan Exists tidak akan lepaskan peluang untuk menonton konsert reunion nanti.

“Semoga konsert ini dapat mengubat kerinduan peminat yang sudah lama tidak berjumpa dengan saya selepas program Gegar Vaganza berakhir dulu kerana saya kini menetap di Johor Bahru.

“Ikutkan, saya baru muncul dengan single solo Nur Cahaya yang dilancarkan pada Januari lalu.

“Bagaimanapun saya tangguhkan promosi untuk fokus kepada konsert reunion Exists dan single duet bersama Ezad berjudul Tak Berakhir yang dihasilkan khusus untuk acara ini.

“Jika bukan sekarang takkan kami mahu menunggu usia mencecah 50 tahun baru nak buat konsert reunion?” katanya.

Sementara itu, Ezad mengakui teruja untuk bergabung semula dengan anggota asal Exists pada konsert reunion itu nanti.

“Saya pernah disingkirkan daripada kumpulan Exists dan terpaksa bergerak solo ketika itu. Saya akui tidak mudah untuk bergerak solo tetapi akhirnya peminat dapat menerima saya sebagai Ezad Lazim sampailah sekarang.

“Namun, saya sudah lupakan perselisihan yang berlaku dalam kumpulan Exists dulu demi merealisasikan konsert reunion ini seperti direncanakan,” katanya.

Mengenai pemilihan lagu pula kata Ezad, jika nak diikutkan dia memiliki album paling banyak bersama Exists berbanding Mamat.

“Kami juga akan seimbangkan pemilihan lagu popular yang disampaikan khusus untuk peminat nanti.

“Saya juga tidak ada masalah untuk berduet lagu baharu dengan Mamat kerana kami juga pernah sama-sama menyertai program realiti TV Gegar Vaganza sebelum ini,” katanya.

Ditanya soal stamina, Ezad berkata setakat ini tahap kesihatannya baik meski menderita sakit usus pada November tahun lalu.

“Saya juga berdoa semoga tidak berdepan dengan masalah kesihatan kerana mahu berikan yang terbaik dalam konsert nanti.

“Saya menjalani latihan bersama anggota Exists yang lain demi memastikan konsert kami nanti lancar.

“Selain menjaga pemakanan, saya juga pastikan mendapat rehat yang cukup sehingga menjelangnya hari konsert,” katanya.

Konsert Exists Reunion akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September depan. Peminat boleh mendapatkan tiket berharga RM130 hingga RM700 menerusi laman web: www.myticket.asia.

-myMetro

Tinggalkan komen anda