Azah Aziz dikecam sokong LGBT


shadow

PELAKON era 90-an, Azah Aziz yang hampir dua dekad menetap di Montreal, Kanada mencetuskan kontroversi apabila berkongsi foto menghadiri perarakan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di Instagram miliknya.

Dikecam teruk netizen, pemilik nama sebenar Norazah Aziz, 46, menegaskan dirinya berhak sepenuhnya ke atas akaun Instagram itu dan lantang membalas komen.

“Biarlah, hak masing-masing. Esok hari baru, semua orang akan teruskan kehidupan,” tulisnya membalas komen netizen.

Tidak hanya itu, Azah turut meletakkan beberapa tanda pagar di ruangan kapsyen gambar yang dimuat naik itu.

“Kongsikan rasa cinta, bukan membenci. #montrealpride #rbc #prideparade #peacenothate #jangankecam #weallhumans #farfarawaydontcare #igsayasayapunyasuka #taksukasilaunfollow #okbye,” tulisnya.

Ramai netizen menasihatinya kerana menjadi tanggungjawab mereka untuk mengingatkan sesama Islam.

Muat naik itu turut menerima sokongan beberapa individu yang menganggap acara berkenaan sekadar perhimpunan komuniti.

Azah sebelum ini pernah menetap di Perancis dan London bersama suaminya Daud Leroy serta tiga anak lelaki iaitu Aaron, Ryan dan Justin.

-myMetro

Tinggalkan komen anda