Awek psiko ugut simbah asid muka Lizzy


shadow

PENYANYI Elizabeth Tan mendedahkan seorang peminat wanita mengugut untuk menyimbah asid di mukanya gara-gara cemburu teman lelakinya kerap meninggalkan komen di Instagram selebriti itu.

Elizabeth atau Lizzy, 25, berkata ugutan peminat itu ternyata sudah melampaui batas dan penyanyi Semua Sudah terbabit bakal membuat laporan polis secepat mungkin disebabkan risau dengan keselamatan dirinya.

“Saya kena buat laporan polis memandangkan ini sudah menyentuh mengenai keselamatan diri. Bagaimanapun, saya masih sibuk buat masa ini namun akan buat laporan secepat mungkin.

“Semestinya ugutan ini merisaukan saya dan sudah melampaui batas. Saya pun pelik kenapa dia begitu cemburu padahal teman lelakinya itu tidak menggatal pun dengan saya dan cuma komen biasa sebagai peminat.

“Sebenarnya wanita yang kerap tukar akaun media sosial palsu ini sudah beberapa bulan mengganggu pengurus saya. Dia menyuruh sekat akaun teman lelakinya daripada terus tinggalkan komen di Instagram saya,” katanya.

Terdahulu, Lizzy membuat perkongsian mengenai hal itu menerusi Instagram di mana dia mengakui terkejut mendapat komen berbaur ugutan yang membahayakan terbabit.

Menurutnya, tindakan wanita itu tidak masuk akal sedangkan teman lelakinya itu sekadar peminat biasa kepada penyanyi berkenaan.

“Ada seorang peminat selalu komen di Instagram, itu normal! Masalahnya teman wanita dia psiko. Dia mesej pengurus saya sekiranya dia ada skandal dengan teman lelakinya.

“Dia minta pengurus saya sekat akaun teman lelakinya dan sudah pun sekat. Selepas itu, dia tanya lagi kalau sudah sekat, kenapa teman lelaki dia masih boleh komen di Instagram Lizzy? Tak masuk akal!,” katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan nyata masih tidak berpuas hati sehingga sanggup mengugut mahu mencederakannya.

“Dia juga meminta pengurus menyuruh saya turut sekat akaun teman lelakinya. Kalau tak, dia akan simbah asid di muka saya,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda