Siasat jika ada kelengkapan ATM hilang


shadow

KEMENTERIAN Pertahanan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jika ada kelengkapan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkemungkinan hilang susulan kehilangan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di Pulau Perak, Kedah, Jumaat lalu.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, buat masa ini kehilangan peralatan atau kelengkapan itu belum dapat dipastikan dan siasatan dijalankan secara menyeluruh dari semua aspek.

“Buat masa ini, kita tidak pasti mengenainya dan siasatan mengenainya sedang berjalan sama dengan siasatan kehilangan dua anggota terbabit.

“Malah, operasi mencari dua anggota berkenaan turut dipergiat termasuk menggunakan semua cabang perkhidmatan ATM,” katanya ketika ditemui pada Malam Anugerah Majlis Sukan Angkatan Tentera 2018 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Kementerian Pertahanan mengeluarkan kenyataan mengenai insiden kehilangan dua anggota TDM yang sedang bertugas di Pulau Perak.

Dua anggota berkenaan, Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis.

Kedua-duanya terbabit dalam Operasi PEJARAK (Op PEJARAK) di Pulau Perak.

Sementara itu, atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer dan atlet Heptathlon wanita negara, Norliyana Kamaruddin dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Angkatan Tentera 2018 pada Malam Anugerah Majlis Sukan Angkatan Tentera di Wisma Perwira, hari ini.

Jackie Wong yang berkhidmat sebagai Laskar Kanan dalam cabang perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipilih sebagai Olahragawan ATM susulan pencapaiannya merangkul pingat emas dalam kejohanan Pra Sukan Asia serta pingat perak di kejohanan terbuka Korea Selatan.

Kejayaan memperoleh pingat emas dalam kejohanan olahraga terbuka Vietnam dan kejohanan olahraga Asean University melayakkan Norliyana dinobat sebagai Olahragawati ATM 2018.

Anugerah disampaikan Mohamad.

Selain trofi, Olahragawan dan Olahragawati turut menerima wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan.

Dalam majlis itu, seramai sembilan atlet dipilih sebagai penerima Anugerah Lambang Emas dan 16 atlet pula dipilih menerima Anugerah Lambang Perak.

-myMetro

Tinggalkan komen anda