Ku sunting maduku…


shadow

PERKENALANNYA bermula melalui laman sosial namun dengan izin Allah SWT membuatkan hati seorang isteri terbuka untuk melamar kenalan terbabit yang juga ibu tunggal menjadi madunya.

Khuzatul Atiqah Abu Seman, 31, memilih untuk melamar Nur Fathonah Abdul Rahim, 30, sebagai isteri kedua suaminya, Samuel Dzul, 29, sebelum pasangan terbabit selamat diijab kabul, baru-baru ini.

Ia bukan sesuatu yang mudah namun bagi Khuzatul Atiqah yang sarat mengandung anak sulungnya kerana dia mahukan kehidupan suami tidak terabai serta mendapat layanan adil.

Lebih menggembirakan apabila mereka memilih untuk tinggal sebumbung di Shah Alam, Selangor yang bukan sahaja membolehkan mereka beribadah bersama-sama malah berkongsi kasih.

“Selepas disahkan mengandung, saya tidak sihat. Suami terpaksa dukung setiap hari untuk naik ke pejabat di tingkat tiga. Apabila melihat wajah suami, hati saya terdetik untuk membantunya dan saya berusaha mencari seorang lagi isteri untuknya.

“Saya terfikir jika keadaan ini berterusan siapa hendak jaga suami. Lantaran, saya mengambil keputusan untuk mencari jodoh untuknya.

“Ramai wanita yang saya temui, ada antara mereka masih anak dara tetapi apabila memberitahu niat saya, mereka memberi pelbagai alasan. Hinggalah saya bertemu Nur Fathonah dan saya melamarnya untuk suami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, pertemuan berlaku tahun lalu dan pada ketika itu, Khuzatul Atiqah tidak berbincang mengenai niatnya sehingga pertemuan kedua beberapa bulan kemudian.

“Ketika itu, saya memegang tangannya dan memberitahu niat saya. Saya tahu dia ibu tunggal dua anak dan melihat kepada keperibadiannya selain solat istikharah memohon petunjuk daripada-Nya.

“Dia (Nur Fathonah) tidak terkata apa-apa dan hanya memandang mata saya. Saya jelaskan kepadanya kebaikan serta pendapat mengenai berpoligami. Alhamdulillah, dia terima lamaran hingga disatukan,” katanya.

Sebelum ini, Khuzatul Atiqah memuat naik status kisah dia membantu mencarikan calon untuk suaminya.

Coretan itu mendapat pujian ribuan netizen malah ada yang memuji kemuliaan hatinya demi memastikan kehidupan suaminya terjaga sepanjang masa.

“Sesungguhnya… cantik aturan Tuhan. Saya pernah menolak poligami, tapi Allah takdirkan saya berkahwin dengan keluarga suami yang mengamalkan poligami. Dari pengamatan saya, sangat banyak kelebihan dan manfaat poligami yang saya nampak dengan mata kepala saya sendiri. Ayah mentua ada 3 orang isteri, di mana arwah ibu adalah isteri pertama.

Dipendekkan cerita, sepanjang 10 tahun berkahwin dan 5 tahun pertama duduk bersama keluarga mentua, secara tak langsung saya menyimpan cita-cita untuk mempunyai keluarga poligami yang harmoni.”

Tidak kurang juga coretan madunya, Nur Fathonah: “Ya Allah terima kasih Ya Allah. Untuk segala nikmat yang diberikan. Tak pernah saya sangka untuk hidup dalam keluarga yang berpoligami. Sesungguhnya tidak pernah terlintas pun dalam diri saya untuk berpoligami. Setelah saya berpisah dengan bekas suami, saya telah bertekad untuk tidak berkahwin lagi apatah lagi akan menerima suami orang. Sejak dari itu, kehidupan saya hanyalah untuk saya dan anak-anak saya sahaja.

“Saya bertungkus lumus siang dan malam demi untuk mencukupkan keperluan kehidupan. Walaupun begitu, di mata masyarakat, saya masih isteri orang dan saya sedaya upaya cuba menutup status sebenar saya sebagai ibu tunggal. Ini kerana, bagi saya, saya tidak mahu orang mengambil kesempatan dan saya dipandang rendah dan hina.”

Khuzatul Atiqah dia tidak menjangka status dimuat naik itu dikongsi warga maya hingga tular di media sosial.

“Kehidupan bermadu saya banyak pelajari daripada keluarga mentua. Bapa mentua saya berkahwin tiga dan saya masih mempunyai tiga ibu mentua,” katanya.

Ditanya apa reaksi suaminya apabila dia mahu mencari isteri kedua, Khuzatul Atiqah berkata, suaminya tidak banyak tanya dan sekadar melemparkan senyuman.

“Semua sudah selesai, saya bukan sahaja menghadiahkan sesuatu untuk suami malah turut membantu Nur Fathonah yang sebelum ini bergelar ibu tunggal,” katanya.

Ketiga-tiga pasangan terbabit menetap bersama di rumah di Shah Alam dengan membuka sebuah studio rakaman di Seksyen 15, Shah Alam.

“Status yang dimuat naik itu kerana mahu menceritakan perkara sebenar. Ini kerana, ada yang salah faham dan melemparkan fitnah kepada madu saya,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda