Berpindah lebih baik, rumah baru dekat masjid


shadow

“IKUTKAN kami memang suka tinggal di rumah terbabit, apatah lagi sudah 19 tahun mendiaminya.

“Namun keputusan berpindah adalah lebih baik buat keluarga saya,” kata pemain gitar kumpulan Slam, Shah.

Dia berkata demikian apabila diminta mengulas perkembangan terkini kediamannya di Taman Bukit Indah, Ampang yang terbakar pada 18 Mei lalu.

Kebakaran bermula pada jam 8 malam itu memusnahkan bilik seorang daripada tiga anaknya di bahagian atas rumah terbabit.

Shah atau nama sebenarnya Shah Nizam Abdul Halim, 45, yang juga pemuzik bebas berkata, keluarganya kini sudah berpindah ke sebuah unit kondominium di Taman Kosas, Ampang.

“Lokasinya tidaklah jauh dengan rumah dulu. Keluarga saya bukan trauma tapi barang banyak rosak dan tidak boleh digunakan lagi termasuk baju anak.

“Perabot pun tak boleh digunakan lagi kerana kena air. Cuma sebahagian kecil sahaja yang masih boleh digunakan dan dibawa ke rumah baru ini.

“Kiranya kami masuk rumah baru dengan segala kelengkapan dan peralatan baru,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia bersyukur kerana mendapat sumbangan kewangan daripada rakan artis dan pemuzik yang melancarkan tabung bantuan bagi meringankan beban ditanggung mereka.

“Kos masuk rumah baru ini boleh tahan juga. Syukurlah saya dikelilingi rakan yang baik dan bermurah hati menderma.

“Apapun saya sebenarnya reda dengan apa yang berlaku kerana ia ujian Allah. Insya-Allah rezeki akan datang semula selepas ini.

“Cuma, sekarang saya dan keluarga amat berhati-hati sebelum keluar meninggalkan rumah. Saya akan pastikan dan ingatkan anak supaya tutup suis elektrik kerana tak mahu kejadian ini berulang lagi,” katanya.

Selepas kejadian itu, Shah dan isterinya, Ina Freshies serta anak mereka menetap sementara di sebuah inap desa berhampiran atas ihsan jiran.

“Kami pindah masuk ke kondominium ini seminggu sebelum Aidilfitri. Memang saya cari rumah di sekitar Kosas kerana anak masih bersekolah agama di sini.

“Anak juga gembira dengan suasana rumah ini. Berkenaan insurans rumah yang terbakar, ia hanya untuk pemilik rumah dan bukannya kami sebagai penyewa.

“Saya tenang saja dan bersyukur kerana banyak terima bantuan daripada kariah masjid Bukit Indah dan Taman Kosas sendiri. Paling menggembirakan kediaman ini terletak berdekatan masjid dan saya hanya perlu berjalan lima langkah untuk sampai ke situ,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda