70% anggap rasuah masalah besar, PAC akan panggil SPRM


shadow

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberikan ulasannya terhadap laporan Barometer Rasuah Global Asia 2020 yang diterbitkan baru-baru ini.

Berdasarkan laporan barometer diterbitkan Transparency International itu, sebanyak 71 peratus rakyat Malaysia berpendapat rasuah dalam kerajaan adalah satu masalah besar, manakala 39 peratus berpendapat rasuah meningkat dalam tempoh 12 bulan lepas.

Kata Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, angka itu menunjukkan ketidakyakinan rakyat Malaysia terhadap integriti pentadbiran awam serta anggota- anggotanya.

“Faktor-faktor yang menyumbang kepada situasi ini harus dikenal pasti dan usaha-usaha ke arah membanteras rasuah perlu dipertingkatkan.

“PAC Parlimen akan memanggil Transparency International untuk memberikan taklimat berkenaan dengan Barometer Rasuah Global Asia 2020 yang diterbitkan.

“PAC Parlimen juga akan memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk memberikan laporan dan ulasan SPRM berkenaan dengan Barometer Rasuah Global Asia 2020 dan hala tuju SPRM dalam memerangi rasuah dan meningkatkan integriti pentadbiran awam Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan laporan barometer itu juga, 30 peratus rakyat berasakan kerajaan tidak melakukan yang terbaik dalam memerangi rasuah, manakala seramai 13 peratus rakyat pernah memberi wang suapan dalam perkhidmatan awam dalam tempoh 12 bulan lepas.

Kadar kepuasan rakyat terhadap SPRM pula berada pada paras 74 peratus.

Pada masa yang sama, 25 peratus rakyat Malaysia yang ditinjau berpendapat perdana menteri adalah korup, dan angka ini lebih tinggi berbanding sembilan negara Asia lain termasuk Taiwan, Maldives, Bangladesh, Indonesia, Myanmar, China, Vietnam, Filipina, dan Kemboja.

Seramai 36 peratus rakyat yang ditinjau berpendapat ahli parlimen adalah korup, dan ini adalah lebih tinggi berbanding dengan tujuh negara Asia yang lain iaitu Bangladesh, Taiwan, Myanmar, Filipina, China, Kemboja, dan Vietnam.

Berdasarkan laporan itu, gara-gara wabak Covid-19, tinjauan banyak dilakukan menerusi panggilan telefon menggunakan pendailan digital rawak (RDD) dengan kawalan kuota sebagai pendekatan pensampelannya.

Tinjauan dilakukan antara 16 Jun – 28 Julai dalam bahasa tempatan.

Kata Wong, keberkesanan Pelan Pencegah Rasuah Kebangsaan (NACP) juga perlu dikaji memandangkan tempoh soal selidik laporan barometer itu adalah dalam tempoh masa pelaksanaan NACP.-Mkini

Tinggalkan komen anda