Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat memuji Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang membaca al-Quran semasa perbahasan di Dewan Rakyat semalam.
Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut menyertakan gambar Maszlee sedang berbuat demikian menerusi status yang dimuat naik di akaun Twitter rasminya.
“Sambil dengar perbahasan, baca Al-Quran sekali. Steady Dr Maszlee,” kata pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) itu.
Selain menerima pujian, ciapan Syed Saddiq itu turut mengundang kritikan warganet yang menganggap tindakan bekas Menteri Pendidikan itu sebagai tidak kena dengan tempat.
Ada yang menyifatkan perbuatan Maszlee yang telah menarik diri daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan menjadi Ahli Parlimen Bebas itu sebagai publisiti murahan.
“Waktu kerja, kerjalah. Waktu solat, solatlah. Kemudian kembali bekerja kalau masih dalam waktu bekerja.
“Jangan baca al-Quran di Dewan Rakyat sewaktu bersidang. Tumpukan pada perbahasan. Ini semua publisiti sampah!” tempelak seorang pengguna Facebook, Zawawi.
Sementara itu, Shah Ahmad Nor berpendapat Maszlee boleh membaca al-Quran pada bila-bila masa selain ketika perbahasan di Dewan Rakyat sedang berlangsung.
“Masa kerja patut kerja. Perkara yang (hukumnya) sunat balik buat di rumah. Takkan nak kena ajar.
“Inilah sifat curi tulang yang berleluasa dalam masyarakat tapi dihalalkan atas nama agama,” bidasnya.
Terdapat juga kritikan yang menganggap perbuatan Maszlee itu tidak selaras dengan pendiriannya awal bulan ini yang kononnya berusaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19 atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Bebas.
Syed Saddiq dan Maszlee asalnya merupakan pemimpin Bersatu. Maszlee kemudiannya keluar dari Bersatu dan membentuk jawatankuasa penaja Pejuang yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Namun, keputusan Maszlee bersama Pejuang juga tidak lama apabila pada 2 November lalu mengumumkan menarik diri dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.
Tinggalkan komen anda