Serah tahanan bakal dibebas kepada pihak berkuasa kesihatan, kata NGO hak asasi


shadow

Sebuah NGO hak asasi manusia menggesa Jabatan Penjara menyerahkan tahanan yang bakal dibebaskan kepada pihak berkuasa kesihatan untuk menjalani kuarantin Covid-19 sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah.

Pengerusi Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict), M Visvanathan berkata, tahanan tidak boleh terus dipenjarakan untuk disaring dan menunggu keputusan ujian.

“Selepas waran pemenjaraan yang dikeluarkan mahkamah tamat tempoh, tiada tahanan yang boleh kekal di bawah tahanan penjara untuk sebarang tujuan.

“Seorang tahanan yang dibebaskan tidak lagi tertakluk kepada peraturan dan undang-undang penjara,” kata Visvanathan kepada FMT.

Beliau berkata, mereka sebaliknya perlu diserahkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan untuk dikuarantin.

“Mereka berhak dilayan seperti rakyat biasa,” katanya sambil menambah mereka boleh berkomunikasi dengan rakan dan saudara, malah memesan makanan dan minuman dari mana-mana tempat, jika mereka ada wang.

Beliau berkata demikian susulan kes 14 tahanan di Pulau Pinang, yang bakal dibebaskan dalam masa sebulan, disahkan positif Covid-19, 2 hari lepas.

Pengarah Penjara Seberang Perai, Zulkifli Abdul Manah dilaporkan berkata, 14 tahanan di penjara Seberang Perai itu disahkan positif selepas menjalani ujian saringan Covid-19 ke-2.

“Kini menjadi prosedur penjara, bagi banduan menunggu untuk dibebaskan, mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 untuk memastikan mereka bebas daripada wabak itu supaya virusnya tidak terus menular apabila mereka dibebaskan nanti,” katanya pada Isnin lalu.

Zulkifli berkata, ketika ini, tahanan yang positif ditempatkan bersama tahanan lain yang turut disahkan positif dan hanya akan dibebaskan selepas mereka pulih sepenuhnya.

Visvanathan meragui jika tahanan boleh dirawat secara berkesan memandangkan penjara di Malaysia terlalu sesak.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yasin memberitahu Dewan Rakyat, seramai 1,156 tahanan disahkan positif virus itu, manakala 83 kes lain melibatkan kakitangan penjara dan ahli keluarga.

Beliau berkata, terdapat 66,791 tahanan di seluruh negara setakat 19 Okt lalu, iaitu 43.88% lebih banyak daripada kapasiti sebenar penjara yang hanya mampu menempatkan 46,420 tahanan.

Katanya, Jabatan Penjara mengukuhkan SOP dengan kerjasama KKM.

Pakar kesihatan berkata, kesesakan dalam sel penjara akan menjadi tempat penyebaran ideal untuk jangkitan Covid-19 kerana jarak fizikal hampir mustahil diamalkan.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, ketua pengarah penjara mesti memastikan tahanan yang dijangkiti Covid-19 diasingkan dalam sayap klinik dan diberikan kemudahan penuh, tidak seperti tahanan lain.

“Mereka mesti dibenarkan menghubungi keluarga mereka, mungkin berinteraksi dalam talian dan diberi bahan bacaan.”

Katanya, kedutaan masing-masing perlu bekerjasama untuk menyediakan kemudahan kepada warga asing, bukannya menggunakan wang pembayar cukai.-FMT

Tinggalkan komen anda