Polis bantuan di Pejabat PM positif Covid-19 punca kluster Seridana


shadow

Kluster Seridana muncul selepas beberapa anggota polis bantuan yang bertugas di Kompleks Seri Perdana – yang turut menempatkan kediaman rasmi perdana menteri – dikesan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata seorang daripada mereka sepatutnya menjalankan tugas khas di parlimen dan sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP), anggota polis bantuan terbabit disaring tiga hari sebelum Dewan Rakyat bersidang.

“Tiga rakan beliau (anggota polis bantuan terbabit) positif, dan isteri positif… jadi saringan telah dijalankan di PMO (Pejabat Perdana Menteri).

“Ada kluster baru iaitu kluster Seridana yang melibatkan lima kes polis bantuan,” katanya pada sidang media untuk menjelaskan keadaan semasa wabak Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Selain anggota polis bantuan itu, kata Noor Hisham, turut disahkan positif Covid-19 ialah seorang penterjemah bahasa isyarat dan seorang pegawai kepada senator Dewan Negara.

Tinggalkan komen anda