PKPD di Medan 88 Salak Tinggi bermula Khamis


shadow

Kerajaan bersetuju melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Salak Tinggi, Sepang, Selangor berkuatkuasa 12 Nov sehingga 25 Nov.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri memaklumkan pelaksanaan PKPD ini akan melibatkan sebanyak 88 unit rumah kedai, 284 premis dan seramai 800 orang penduduk.

Bagaimanapun, katanya, premis perniagaan bagi barangan keperluan asas masih dibenarkan untuk beroperasi.

“PKPD ini juga membolehkan KKM terus melaksanakan saringan bersasar dan mengawal pergerakan individu bagi memutuskan penularan Covid-19 dalam komuniti,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Selain kawasan PKPD berkenaan, Selangor kini diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di mana penduduk dibenarkan keluar bekerja tetapi tidak boleh melakukan aktiviti sosial.

Menurut prosedur operasi standard ( SOP ) bagi kawasan PKPD, hanya satu orang bagi setiap isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan barangan keperluan asas.

Pihak berkuasa pula akan menyampaikan makanan asas kepada penduduk yang terjejas.

Awal hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun mengadakan lawatan ke kawasan Medan 88.

Pada 10 Nov, sebanyak 40 kes positif Covid-19 dilaporkan di daerah ini.

PKPD di dua kawasan di Lahad Datu tamat

Sementara itu, Ismail hari ini juga mengumumkan penamatan PKPD di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah di Lahad Datu, Sabah

Katanya, keputusan itu dibuat selepas tiada lagi penduduk yang disahkan dijangkiti Covid-19.

Majlis Keselamatan Negara sebelum ini melanjutkan PKPD di dua kawasan berkenaan sehingga 23 Nov.

“Bagaimanapun, sehingga 10 November 2020, KKM mendapati kesemua keputusan 5,189 sampel saringan kedua telah diperolehi dengan kesemuanya adalah negatif.

“KKM juga mendapati tiada lagi kes baru positif Covid–19 di kedua-dua lokaliti ini dalam masa 18 hari terkini, ”kata Ismail.

Penduduk dari Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah sebelum ini memprotes pelanjutan PKPD dengan mengatakan langkah itu mengakibatkan mereka hilang mata pencarian. 

PKPD di kedua-dua kawasan tersebut dilaksanakan hampir sebulan bermula pada 13 Okt lalu.-Mkini

Tinggalkan komen anda