Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim yang masih dalam kes mahkamah sibuk melaung Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menang 7-0 apabila Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Tengku menjawab persoalan semasa menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, 26 November lalu.
Ramai Ahli Parlimen PN yang menepuk meja kegembiraan bersama-sama Azeez seolah-olah Belanjawan 2021 lulus cemerlang, dan 7-0 itu kemenangan mutlak.
Tidak dinafikan ramai yang amat kecewa dan tertanya-tanya mengapa Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP dan PKR tidak bangun bagi meminta undi belah bahagi atau en bloc untuk menolak Belanjawan 2021.
Sebenarnya, Belanjawan 2021 belum diluluskan, dan PH tidak tewas 7-0! Ketua Parlimen DAP, Anthony Loke memberikan beberapa alasan.
Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021, kata Loke, hanya lulus peringkat bacaan kedua atau pada peringkat dasar. Mulai 30 November nanti, tambah beliau, perbahasan akan masuk peringkat Jawatankuasa.
Ertinya, perbelanjaan untuk setiap kementerian perlu dibahaskan secara terperinci dan diluluskan. Mulai Isnin ini (30 November), tegas Loke, setiap hari ada peluang untuk undi belah bahagi dipanggil oleh sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen.
Undi belah bahagi tidak disokong kerana PH bukannya menolak keseluruhan belanjawan tersebut.
Jelas Loke, ada perkara yang boleh diterima dan disokong seperti pembayaran gaji untuk kakitangan awam, elaun khas untuk barisan hadapan, bantuan tunai kepada rakyat, subsidi gaji untuk majikan, peruntukan untuk pengangkutan seperti MY30, dan peruntukan-peruntukan lain yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
Bagi saya, penolakan terhadap en bloc itu menunjukkan kewarasan dan kematangan PH kerana tidak membuta tuli berbuat demikian.
Sebagaimana kata Loke lagi, banyak juga peruntukan yang wajar ditolak seperti RM85.54 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), pemotongan peruntukan untuk pelbagai jenis aliran sekolah, dan isu-isu lain yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen PH.
Justeru, PH akan membantah dan menolak peruntukan yang tidak dipersetujui pada peringkat Jawatankuasa Kementerian masing-masing.
Sebagai contoh, PH akan meminta en bloc untuk menolak belanjawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana JASA merupakan agensi di bawah kementerian tersebut.
Sikap berhati-hati dan tidak gelojoh PH itu terbayang kerana kalau semua Ahli Parlimennya bangun memohon undi belah bahagi dan menolak Belanjawan 2021, bagaimana serangan daripada Ahli Parlimen PN?
Tentu sahaja, kata Loke, mereka akan menuduh PH mengingkari nasihat Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan tidak mahu gaji kakitangan awam dibayar, tidak menyokong bantuan kepada golongan B40, serta menyekat elaun hidup untuk petani, dan nelayan.
Pastinya mereka akan memainkan sentimen rakyat dengan pelbagai tuduhan tersebut. Sikap Ahli Parlimen PN yang gemar bermain dengan sentimen sudah lama diketahui.
Tegas Loke, sebagai Ketua Parlimen untuk blok Ahli Parlimen DAP, beliau bertanggungjawab penuh terhadap keputusannya untuk memberikan arahan kepada Ahli-ahli Parlimen DAP tidak bangun meminta undi belah bahagi selepas mendapat mesej daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Loke memohon maaf, tetapi dalam masa yang sama meminta penyokong jangan kecewa, dan mengecam, serta terus menganggap tindakan yang diambil sebagai salah. Beliau berjanji semua Ahli Parlimen DAP akan memastikan mulai 30 November nanti, perjuangan diteruskan!
Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan semasa bercakap kepada pihak media, kerajaan PN masih terlalu awal untuk meraikan kelulusan RUU Perbekalan 2021 pada peringkat dasar.
Turut bersama-sama beliau ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu (Ahli Parlimen Kota Raja), dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Ahli Parlimen Bagan).
Ada yang hairan dan kecewa kerana Anwar tidak mencelah ketika Zafrul menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan 2021. Hanya 13 Ahli Parlimen dari Pejuang, Amanah, PKR, DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) bangun menyokong cadangan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Wira Mahfuz Omar (Amanah) untuk undian en bloc.
Mohamad pada mulanya dilihat berdiri, tetapi ditarik oleh Guan Eng untuk duduk semula. Serentak itu juga, Ahli Parlimen Kulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah), dan Ahli Parlimen Kapar, Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR) juga duduk selepas menyedari kebanyakan Ahli Parlimen PH tidak bangun menyokong en bloc.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun akhirnya mengumumkan RUU Perbekalan 2021 pada peringkat dasar diluluskan melalui undi suara pada jam 3.28 petang.
Pengundian pada 26 November itu akan disusuli perbahasan selama dua minggu, seterusnya undian pada peringkat jawatankuasa yang melibatkan kesemua kementerian.
Bacaan ketiga RUU Perbekalan 2021 dijadualkan berlangsung pada 17 Disember depan.
Sehubungan ini juga, Azeez dan Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Ketua Umno Bahagian Kinabatangan, Dato’ Sri Bung Moktar Radin (Umno-BN yang masih dalam kes mahkamah), jangan terlalu gembira.
Mereka dan semua Ahli Parlimen PN yang lain usah marah kalau dikatakan sanggup berbuat apa sahaja – by hook or by crook agar Belanjawan 2021 diluluskan.
Prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 berkenaan kuarantin wajib 14 hari telah diubah agar ahli Parlimen PN boleh mengundi untuk meluluskan Belanjawan 2021.
Tindakan tersebut dibantah oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0). Dalam satu kenyataannya pada 25 November lalu, Bersih 2.0 menegaskan Putrajaya tidak boleh sewenang-wenang mengubah SOP untuk memperoleh keuntungan.
Menurut Bersih 2.0, tindakan mengecualikan pengembara dari Sabah ke Semenanjung menjalani kuarantin wajib selama 14 hari jika disahkan negatif jelas menunjukkan Putrajaya telah menyalahgunakan kuasa.
Justeru, badan pemantau pilihan raya itu menggesa agar kerajaan tidak sesuka hati mengubah SOP demi melepaskan ahli Parlimen dari blok mereka yang melanggar peraturan.
Bagi Bersih 2.0, sekali lagi ini satu penyalahgunaan kuasa yang sangat jelas dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mendakwa mana-mana ahli politik yang melanggar arahan tanpa ada sikap berat sebelah.
Difahamkan kalau seseorang itu didapati negatif Covid-19, dia wajib menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah. Jika didapati positif Covid-19 pula, dia perlu diasingkan, dan dirawat di hospital. Tiada apa-apa surat pelepasan untuk dia terlepas daripada SOP itu!
Isu perubahan SOP Covid-19 ini panas selepas Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan yang sepatutnya menjalani kuarantin wajib 14 hari, menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk perbahasan Belanjawan 2021 pada 24 November lalu.
Menurut Bersih 2.0, Kitingan tiba di Kuala Lumpur pada 12 November, dan Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada minggu lalu berkata, semua individu dari Sabah perlu dikuarantin selama 14 hari walaupun didapati negatif.
Dalam jawapan untuk mempertahan dirinya, Jeffrey yang juga Presiden STAR memberitahu beliau hadir di Dewan Rakyat setelah mendapat pelepasan awal KKM daripada menjalani pemantauan, dan pemerhatian mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Menurut pemimpin parti komponen Kerajaan PN itu, surat pelepasan bertarikh 23 November yang diterimanya ditandatangani pegawai perubatan dari Pejabat Kesihatan Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
Mana-mana individu yang menjalani kuarantin kendiri, kata Jeffrey, boleh memohon untuk pelepasan awal, tertakluk pada kelulusan daripada KKM, dan selepas menjalani saringan kesihatan.
Jelas Jeffrey, keputusan itu dibuat KKM selepas melakukan beberapa ujian calitan Covid-19, dan darah terhadapnya sejak tiba di Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Sepanggar dari Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman pada 24 November mempertikai kehadiran Jeffrey di Dewan Rakyat yang dianggap melanggar arahan kuarantin wajib 14 hari ditetapkan oleh KKM terhadap mereka yang datang dari Sabah.
Mengulas lanjut, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, tiada isu tidak mematuhi peraturan seperti yang didakwa sesetengah pihak. Isu pilih kasih juga tidak timbul kerana pelepasan awal itu bukan hal politik. Nampak seperti bukan hal politik, tetapi rakyat sekarang tidak mudah diperdaya lagi.
Dalam masa yang sama, Jeffrey menafikan dakwaan yang turut mengatakan beliau masih berada di Kota Kinabalu pada 13 November lalu, serta menganggap dakwaan itu sebagai fitnah, dan berniat jahat bertujuan merosakkan reputasinya sebagai pemimpin.
Aneh juga agensi yang dipimpin oleh ketua yang berwibawa seperti Hisham boleh memberikan pelepasan itu dengan mudah. Di mana silapnya? Seperti ada yang tidak kena. Masakan Hisham merestuinya.
Tegas Bersih 2.0, jika SOP diubah semata-mata untuk membolehkan wakil rakyat seperti Kitingan, dan Moktar mengundi bagi meluluskan Belanjawan 2021, jelaslah kerajaan menyalahguna kuasa tanpa menghiraukan kesihatan, dan keselamatan rakyat.
Tindakan tersebut, tambah Bersih 2.0, jelas tidak bertanggungjawab jika kerajaan sanggup merendahkan tahap berjaga-jaga semata-mata untuk kepentingan sempit politik mereka.
Ekoran kontroversi kehadiran Jeffrey, saya bersetuju dengan pendapat Bersih 2.0, bagi mengembalikan hak semua ahli Parlimen untuk berbahas, dan mengundi sesuatu usul dalam Parlimen, lebih baik kerajaan melaksanakan sidang hibrid (hybrid seating) bagi membenarkan wakil rakyat yang terpaksa dikuarantinkan untuk berbahas, dan mengundi secara maya (virtual).
Pada Mei lalu, Bersih 2.0 juga pernah mencadangkan kepada kerajaan supaya sidang Parlimen diadakan secara maya. Namun begitu, cadangan tersebut tidak dihiraukan.
Bersih 2.0 memberikan contoh sidang hibrid telah dijalankan oleh Parlimen United Kingdom, apabila ahli Parlimen yang dibenarkan bersidang di dalam Dewan, dan bakinya secara maya.
Ketika isu Jeffrey masih hangat, timbul pula persoalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Dato’ Sri Nancy Shukri tidak menjalani kuarantin kendiri wajib 14 hari, sebaliknya menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 26 November.
Hal itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Dewan Rakyat pada hari yang sama. Kata mantan timbalan menteri kementerian tersebut, ada kakitangan Motac yang dijangkiti Covid-19. Justeru, beliau bertanya mengapa Nancy masih hadir di Dewan Rakyat.
Di sinilah terlihat lebih jelas pengubahan SOP sesuka hati kerana Azhar menjawab kepada Muhammad bahawa Nancy disahkan negatif Covid-19, tetapi telah mendapat surat pelepasan kuarantin.
Memang malang dan mendukacitakan kerana dalam menolak cadangan tersebut, kerajaan sekarang mengubah SOP pencegahan penularan wabak pandemik demi kepentingan politik sendiri.
*RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.
Tinggalkan komen anda