Perlukah PKP? Pendekatan negara lain jauh lebih efektif


shadow

Penasihat penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Jomo Kwame Sundaram mempersoalkan apakah perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Malaysia merupakan langkah terbaik dalam mengawal Covid-19 dan melindungi kebajikan rakyat.

Ini memandangkan ada negara-negara lain yang berjaya melawan wabak itu tanpa perlu melakukan langkah sama, kata Jomo.

“Kalau kita lihat situasi di negara lain, bukan semua negara laksanakan PKP atau seumpamanya, seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Vietnam, Laos, Kerala di India, bahkan China.

“Mereka semua tak laksanakan PKP atau seumpamanya, iaitu rakyat dipaksa untuk tinggal di rumah dan tidak keluar untuk tempoh masa tertentu,” katanya.

Pakar ekonomi itu berkata, orang awam cenderung melihat PKP sebagai satu-satunya cara mengawal wabak itu, tetapi negara-negara lain telah mengguna pakai pendekatan lain yang “jauh lebih efektif”.

Jomo berkata demikian dalam forum dalam talian malam tadi, berjudul “Belanjawan 2021: Bergerak ke arah pemulihan” yang dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ahli panel lain ialah Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad.

Kemerosotan ekonomi di Malaysia bukanlah semata-mata kesan daripada wabak itu, kata Jomo, tetapi disebabkan oleh langkah PKP yang dilaksanakan kerajaan.

Katanya, jika Malaysia melaksanakan pendekatan lain dengan efektif untuk mengawal penularan virus itu, maka PKP mungkin tidak pun diperlukan.

Dia percaya itulah sebabnya orang ramai mula mempersoalkan keberkesanan PKP dalam menghentikan penularan wabak berkenaan.

Ini juga menunjukkan ada defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan, tambahnya lagi.

“Pada mulanya, sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah sangat kuat, tetapi sekarang kepercayaan dan keyakinan terhadapnya merosot teruk

“Kerana itulah, meskipun kerajaan ini mempunyai kabinet terbesar dalam sejarah Malaysia, dengan lebih 70 ahli kabinet, kita dapati, dalam kerajaan ini, seolah-olahnya tangan kiri tidak tahu apa yang sedang dilaksanakan oleh tangan kanan.

“Tak ada penyelarasan.”

Jomo merujuk Korea Selatan sebagai contoh, apabila beberapa agensi kerajaan di sana menyelaras rancangan tentang bagaimana rakyat boleh terus menggunakan pengangkutan awam tanpa bahaya.

Perkara sama boleh dilakukan untuk pendidikan di Malaysia, katanya, tetapi dia kesal kerana seluruh generasi terjejas memandangkan mereka sudah pun terlepas proses pembelajaran untuk tempoh lebih daripada setengah tahun.

Bukan itu sahaja, pendekatan meneruskan proses pembelajaran di Malaysia dalam musim wabak ini, sangat bergantung kepada akses pelajar kepada laptop dan internet.

Bagaimanapun, katanya, hanya 6 peratus pelajar sekolah di Malaysia mempunyai akses kepada komputer riba.

“Jadi kenapa tidak ada kaedah lain bagi memastikan pendidikan anak-anak tidak terlalu ketinggalan? Kenapa tak guna pakai TV atau siaran radio?

“Kami dapati langkah yang diambil ini, nampaknya tak melibatkan keseluruhan kerajaan, dan nampak seperti tiada usaha untuk meyakinkan dan mendapatkan kerjasama daripada rakyat.

“Jika kita tak dapat sokongan dan kerjasama rakyat, kita akan dapati ramai yang akan ketinggalan,” tambahnya lagi.

Dia mengambil contoh perintah kerja dari rumah baru-baru ini sebagai pendekatan yang mengelirukan yang diambil oleh kerajaan.

“Kerjasama di peringkat kerajaan negeri juga sangat penting.

“Saya dapati, bahkan kerajaan negeri Perikatan Nasional sendiri tidak terlibat dalam perbincangan atau rundingan, apatah lagi kerajaan negeri pembangkang, seperti yang terjadi di Selangor,” katanya lagi.-Mkini

Tinggalkan komen anda