Pemandu lori langgar sekatan jalan raya positif dadah


shadow

Seorang pemandu lori ditahan kerana melanggar sekatan jalan raya dan didapati positif dadah di Plaza Tol Simpang Ampat di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu, berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, tiada anggota polis atau tentera yang bertugas di lokasi sekatan jalan raya itu cedera.

“Ketika kejadian, suspek yang berusia 26 tahun memandu sebuah lori Isuzu 10 tan dengan muatan sangkar ayam dari Alor Gajah menghala ke Rawang, Selangor melalui Tol Simpang Ampat.

“Kemalangan berlaku apabila tayar belakang sebelah kiri lori yang dipandu suspek terlanggar papan sekatan jalan raya dan menyebabkannya terjatuh, namun kejadian itu tidak membabitkan kecederaan serta kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan sudah diserahkan kepada pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Alor Gajah bagi tindakan lanjut untuk ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah .

Arshad turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa bersabar dan mengingatkan bahawa, tindakan memandu secara melulu bukan sahaja membahayakan petugas barisan hadapan malah pengguna jalan raya yang lain. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda