Pemaju aplikasi Muslim Pro nafi jual data kepada tentera AS


shadow

Pemaju aplikasi waktu solat dan kiblat yang berpangkalan di Singapura nafi dakwaan ia menjual maklumat peribadi pengguna kepada tentera Amerika Syarikat, menepis laporan berkata demikian sebagai “tidak betul dan tidak benar”.

Akhbar Singapura, The Straits Times, memetik ketua komuniti Muslim Pro, Zahariah Jupary, sebagai berkata melindungi dan menghormati penggunanya adalah keutamaan syarikatnya.

Beliau dipetik sebagai berkata, sebagai aplikasi orang Islam paling dipercayai sejak 10 tahun lalu, ia mematuhi piawaian privasi dan peraturan perlindungan data secara ketat, dan tidak berkongsi sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti mana-mana orang.

Semalam, laporan media mendakwa data lokasi pengguna Muslim Pro, yang dimuat turun sekurang-kurangnya 95 juta kali di 200 negara, dijual kepada X-Mode.

Data itu kemudian didakwa dijual kepada kontraktor pihak ke-3 yang didakwa memberikan data itu kepada tentera AS.

Data yang didakwa diberi itu termasuk maklumat lokasi serta nama rangkaian wifi yang dihubungkan pengguna.

Pemaju aplikasi itu, Bitsmedia, beritahu ST bahawa ia akan dengan segera menamatkan hubungan dengan rakan datanya, tetapi tiada butiran khusus.

Sementara itu, laporan lain mengatakan Bitsmedia menamatkan hubungannya dengan X-Mode dan rakan data lain.

Syarikat media AS-Kanada, Vice Media, melaporkan tentera AS membeli data Muslim Pro melalui X-mode, broker data pihak ke-3.

Tinggalkan komen anda