Pecah rekod lagi: 1,884 kes baru Covid-19


shadow

Jangkitan Covid-19 di Malaysia hari ini merekodkan jumlah kes harian tertinggi baharu pada 1,884 kes sejak pandemik itu menular ke negara ini.

Sebelum ini, jumlah kes harian tertinggi ialah 1,755 kes yang dicatatkan pada 6 Nov lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan  Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor merekodkan angka tertinggi pada 1,203 kes dengan sebahagian besarnya melibatkan Kluster Teratai iaitu 1,067 kes.

“(Perkembangan terbaharu) Ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 56,659 kes dengan jumlah kes aktif 13,842 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,882 kes merupakan penularan dalam negara,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini.

Dr Noor Hisham berkata bilangan kes sembuh pula sebanyak 883 kes, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh sepenuhnya ialah 42,480 kes atau 75 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau turut melaporkan dua kematian baharu menjadikan jumlah keseluruhan yang maut akibat COVID-19 kini 337 kes

Tinggalkan komen anda