Lama menyepi, Maszlee Malik adakan sidang media esok


shadow

 Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan mengadakan sidang media khas, esok.

Jemputan sidang media itu diwar-warkan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu pada akaun Twitter beliau

Bagaimanapun, hanya 30 pengamal media dan wartawan dijemput untuk menghadiri sidang media berkenaan.

“Jemputan Media ke Sidang Media Khas bersama YB Dr Maszlee Malik pada 11.11.2020,” demikian menurut jemputan yang diterima media.

Sidang media itu akan diadakan di Pertubuhan Rejuvenasi Pendidikan di Cyberjaya.

Ia dipercayai berkisar tentang status politik beliau yang menjadi tanda tanya sejak akhir-akhir ini.

Maszlee sebelum ini banyak dihimpit kontroversi antaranya secara terbuka mengumumkan penarikan diri daripada menjadi penaja Parti Pejuangan Tanahair (Pejuang) yang diilhamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Maszlee sebelum ini adalah penaja parti Pejuang bersama Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Marzuki Yahya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Malah pada Oktober lalu, beliau juga didakwa membuat Akuan Bersumpah (SD) memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Menerusi akuan itu, Mazlee dikatakan menyatakan beliau memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi dan setia kepada Anwar. – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda