Kos PLKN RM700 juta setahun boleh biaya program ijazah – Saddiq


shadow

Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menolak cadangan kerajaan untuk mewujudkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selepas ia dimansuhkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Menurut Syed Saddiq, kerajaan PH menghentikan program PLKN kerana kos yang melampau sekitar RM700 juta setahun.

“Kita berhentikan kerana kos melampau. RM700 juta setahun.

“Kontrak diagihkan ke kroni melalui direct nego (rundingan langsung)! Pimpinan Umno yang untung,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Bekas menteri belia dan sukan itu mengulang ciapan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan yang mengucapkan penghargaan atas cadangan Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob untuk menghidupkan semula PLKN.

“Terima kasih banyak. PLKN amat baik untuk bina generasi muda,” kata Ahmad.

Sebelum ini kerajaan dikritik kerana memperuntukkan RM85 juta untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dianggap sebagai unit propaganda bagi kerajaan.

Menurut Syed Saddiq, kos PLKN selama tiga bulan boleh membiayai program ijazah di universiti tempatan.

“Kos nak biaya pelatih PLKN selama tiga bulan boleh biaya kos ijazah di universiti awam.

“Cukuplah Jasa dapat RM85 juta, kini PLKN lagi RM700 juta,” tegasnya.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata program PLKN dirancang diwujudkan semula setelah kerajaan mendapati program itu memberikan kesan patriotisme di kalangan remaja yang menyertainya selepas tamat persekolahan.

“Program PLKN dimansuhkan 2018 namun berdasarkan kesan program baik dalam pembentukan patriotisme remaja yang telah menyertai program ini pihak kementerian akan cadangkan semula kepada jemaah menteri agar projek ini dilaksanakan semula,” katanya.-Mkini

Tinggalkan komen anda