Kebanyakan yang lari dari PKPD mungkin pendatang asing – Noor Hisham


shadow

Kementerian Kesihatan percaya sebahagian besar individu yang melarikan diri dari Medan 88 di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang adalah pendatang asing tanpa dokumen yang sah.

Ketua pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata pekerja asing berkenaan mungkin bimbang dengan keputusan kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kawasan itu kerana peningkatan kes Covid-19.

“Kita rasa yang lari tu Pati (Pendatang tanpa izin), bimbang disaring dan akan ditangkap serta dibawa ke depot tahanan imigresen. Kumpulan ini yang kita bimbang larikan diri.

“Walaubagaimanapun (pihak berkuasa) akan jejak dan minta (mereka) tampil,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham mengulas kejadian di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, di mana 400 individu tidak pulang ke rumah setelah mendapat maklumat bahawa kawat berduri akan dipasang di kawasan itu untuk pelaksanaan PKPD.

PKPD dikuatkuasakan di kawasan itu selama 14 hari bermula hari ini setelah berlaku peningkatan kes Covid-19.

Keputusan itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob semalam.

Ketika ditanya apakah masalah itu mungkin berpunca daripada pengumuman awal oleh kerajaan, Noor Hisham mengakuinya dan mengatakan tindakan seperti itu menimbulkan risiko individu meninggalkan sesuatu kawasan.

Bagaimanapun katanya, melaksanakan PKPD tanpa memberikan makluman awal juga akan mengundang masalah. 

“Mungkin ada juga yang terperangkap, contohnya yang duduk di hotel akan terperangkap 14 hari. Apa yang pasti kita nasihatkan mereka tampil untuk buat saringan,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham sekali lagi mengatakan keputusan melaksanakan PKPB di seluruh negara kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan adalah langkah yang tepat.

Katanya, PKPB merupakan pilihan terbaik yang dapat dilakukan sekarang untuk menyekat perjalanan rentas daerah dan antara negeri.

Tambahnya, walaupun aktiviti sosial dan pendidikan dilarang, namun sektor ekonomi masih dibenarkan walaupun tidak seratus peratus.

“Tapi sekurang-kurangnya dapat kurangkan aktiviti sosial seperti perkahwinan dan sebagainya,” katanya.-Mkini

Tinggalkan komen anda