Kami sedia kerjasama dengan negara lain bawa pulang Jho Low, kata Hisham


shadow

Menteri Luar, Hishammuddin Hussein berkata, Wisma Putra tiada masalah bekerjasama dengan China atau negara lain untuk membawa pulang ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, sebaik saja lokasinya diketahui.

“Kita tak tahu sama ada benar dia ada dekat China.

“Sekiranya polis maklumkan kepada Wisma Putra kedudukan sebenar dan di mana dia berada, tidak ada sebab Wisma Putra tidak boleh bantu kerajaan bawa balik Jho Low untuk hadapkan kepada badan penghakiman,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) tindakan apa yang diambil kerajaan untuk mengesan lokasi Jho Low kerana Malaysia dan China mempunyai hubungan baik.

Pada 29 Julai lalu, Kedutaan China di Kuala Lumpur menafikan kenyataan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador yang Jho Low sedang bersembunyi di Macau.

Bagaimanapun, Hamid pada 7 Ogos lalu dilaporkan berkata, pihak berkuasa Macau perlu mengambil berat notis merah dikeluarkan Interpol untuk mengesan dan menangkap Jho Low, yang dipercayai berada di sana ketika itu.

Ini kerana, katanya, Jho Low dikesan membuat beberapa transaksi perniagaan di Macau dan pihak berkuasa negara itu pula didapati enggan memberi kerjasama serta tiada maklum balas.

Tinggalkan komen anda