‘Jasa gagal, kenapa hidupkan semula guna wang rakyat?’


shadow

Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) merupakan satu kegagalan besar meskipun jutaan ringgit dibelanjakan untuk tujuan propaganda.

Kata pemimpin veteran DAP, hal itu terbukti apabila BN tumbang pada 2018.

“Persoalannya sekarang; mengapa wang rakyat Malaysia digunakan oleh JASA untuk menyebarkan pembohongan dan kepalsuan?” soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim memberikan respons terhadap dakwaan ahli majlis tertinggi Umno dan bekas ketua pengarah Jasa, Mohd Puad Zarkashi, bahawa DAP “takut” dengan agensi yang bakal dihidupkan semula itu.

Puad dilantik sebagai ketua pengarah Jasa pada Mac 2015, namun meletakkan jawatan secara mengejut pada April 2018 selepas tidak dinamakan sebagai calon BN dalam pilihan raya umum (PRU).

Selepas pendedahan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu menghidupkan semula Jasa dengan peruntukan RM85.5 juta bagi tahun 2021, Puad menyifatkan jumlah itu “terlalu besar” memandangkan BN hanya memperuntukkan RM30 juta sahaja untuk agensi itu pada 2018.

Dakwa Puad, salah satu tanggungjawab Jasa pada masa itu adalah “menjawab pembohongan DAP melalui media sosial”.

Bagi Lim, Puad melakukan “kesilapan besar” apabila menyifatkan DAP “takut” akan Jasa.

“Mengapa Jasa yang pernah diterajui Puad ini harus ditakuti sedangkan ia adalah sebuah kegagalan besar, jika tidak sudah tentu Najib Razak masih kekal menjadi perdana menteri Malaysia hari ini dan tidak akan disabitkan dengan kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram,” katanya.

Sebaliknya, kata Lim, “ratusan juta” dilaburkan untuk membiayai “operasi siber Umno” bagi menggambarkan DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, serta komunis. Bagaimanapun Lim mengakui bahawa usaha itu berjaya.

Jasa merupakan agensi kerajaan yang bersifat rahsia, berakar umbi sejak 1960-an, ketika ia dikenali sebagai Cawangan Hal Ehwal Khas (Chek) di bawah Jabatan Perkhidmatan Penerangan, kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Berdasarkan senarai jawatan kerajaan 2019, Jasa mempunyai 229 kakitangan sepenuh masa di seluruh negara sebelum dibubarkan pada Januari 2020.

Bagaimanapun, Jasa dipercayai menggaji kakitangan kontrak dengan elaun bulanan RM900 bagi memantau 222 kawasan parlimen dan 576 kawasan DUN, menjadikan bilangan kakitangan bergaji seramai lebih 1,000 orang.

Pada 2017, satu perhimpunan melibatkan 942 kakitangan Jasa diadakan di Alor Gajah, Melaka, dengan tema “”Ke Arah Memenangi Majoriti 2/3 Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14″.

Pada masa itu, Puad mendedahkan bahawa kontrak kakitangan itu diperbaharui secara tahunan. 

Dia mencadangkan tempoh kontrak selama sekurang-kurangnya dua tahun dan staf kontrak yang berkhidmat lebih 15 tahun wajar menikmati bonus bulanan RM300. 

Tinggalkan komen anda