Kerajaan berkata Dr Mahathir Mohamad tiada peranan dalam penamatan kontrak Mohamed Apandi Ali sebagai peguam negara 2 tahun lalu, yang didakwa tidak sah.
Menjawab tuntutan RM2.2 juta daripada Apandi terhadap Mahathir dan kerajaan, katanya penamatan khidmat Apandi sebagai peguam negara dan penamatan kontraknya sebagai pegawai undang-undang “sah” dan “mengikut undang-undang”.
“Tiada penyalahgunaan kuasa oleh defendan pertama (Mahathir) berhubung penamatan perkhidmatan plaintif (Apandi) sebagai peguam negara dan penamatan kontrak plaintif sebagai pegawai undang-undang,” menurut penyataan pembelaan kerajaan.
Kerajaan juga menepis tuntutan plantif sebagai tidak bermerit dan tersalah tanggap dari segi fakta dan undang-undang.
“Dalam apa keadaan sekalipun, plaintif tidak berhak kepada relif-relif yang dipohon di penyata tuntutan.”
Apandi memfailkan tuntutan bulan lepas, memohon penamatan khidmatnya pada 2018 sebagai diisytiharkan sebagai tidak sah.
Beliau juga memohon mahkamah menilai pampasan RM2,233,599.36 sebagai ganti rugi khas, ganti rugi punitif, dan ganti rugi am.
Kerajaan menafikan dakwaan Mahathir ketika memegang jawatan perdana menteri melakukan “tort of misfeasance” menerusi beberapa tindakan, termasuk membuat kenyataan “berat sebelah” terhadap Apandi, mencadangkan pengganti Apandi sebelum penamatan sah dibuat oleh Agong, dan menggunakan pihak ke-3 seperti peguam peribadi Mahathir untuk menekan Apandi supaya berundur.
Mahathir juga didakwa mempunyai pandangan berat sebelah terhadap Apandi dan sudah memutuskan penamatan beliau tanpa mengira kuasa Agong dalam Perlembagaan.
Apandi dikatakan berkata Mahathir mengambil tindakan-tindakan yang dengan niat untuk membuat dan/atau mencetuskan pelanggaran kontrak, dan kerajaan bertanggungjawab atas tindakan dan peninggalan Mahathir.
Apandi, seorang bekas hakim, dilantik sebagai peguam negara pada 27 Julai 2015. Kontraknya ditamatkan pada 26 Julai 2018.
Katanya, ketua setiausaha negara dalam suatu surat kepadanya sebelum pilihan raya umum ke-14 memaklumkan tempoh perkhidmatannya dilanjutkan untuk 3 tahun lagi.
Namun, katanya, KSN dalam suatu surat pada 5 Jun 2018 memaklumkan Agong bersetuju dengan penamatan itu tetapi tiada dokumen persetujuan Agong dilampirkan.-FMT
Tinggalkan komen anda