Dengar rintihan rakyat, lanjut moratorium


shadow

 Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari minta kerajaan mengkaji semula saranan pelbagai pihak termasuk pembangkang agar moratorium dilanjutkan secara bersasar.

Beliau berkata, lanjutan moratorium itu tidak akan memberi kesan pun kepada institusi bank untuk tempoh tertentu, terutama ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Maksud saya lanjutan moratorium secara bersasar ialah ada dalam kalangan rakyat, terutama golongan T20 tidak memerlukan moratorium kerana mereka mampu membayar hutang bank.

“Tetapi yang benar-benar memerlukan moratorium ini ialah golongan B40 dan M40, kerana mereka juga mempunyai tanggungan lain,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang-BN), setuju moratorium dilanjutkan kerana rakyat ketika ini berada dalam keadaan yang memerlukan perhatian dari kerajaan.

Katanya, ramai pasangan suami isteri yang sebelum ini dikategorikan M40 kini menjadi suri rumah sepenuh masa atau dalam erti kata lain, ‘bercuti’ tanpa gaji.

“Mereka hilang punca pendapatan, tetapi berdepan dengan masalah mendapatkan sumber kewangan untuk membayar hutang bank, rumah dan sebagainya.

“Dengan lanjutan moratorium yang disarankan banyak pihak ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berharap institusi kewangan jangan jadi seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing ketika rakyat dalam keadaan mendesak, kerana semasa ekonomi berada dalam keadaan baik, mereka paling banyak mengaut keuntungan.

Ahmad Jazlan juga mahu kerajaan mengkaji semula pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM500 sebulan atau RM6,000 setahun dengan menaikkan kepada kadar RM10,000 secara one-off.

“Kita di dalam Dewan Rakyat ini hidup jauh berbeza dengan rakyat di luar sana. Mereka jika dalam kesempitan hidup, RM10 pun tidak ada dalam tangan. Berbeza dengan kita.

“Saya juga bimbang kalau rakyat terdesak, mereka akan terjerat dengan umpan ah long, yang tentunya akan memusnahkan hidup mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda