Covid-19: 931 kes baru, tiga kematian


shadow

Jumlah pesakit baru Covid-19 kekal pada tiga angka hari ini apabila sebanyak 935 kes dicatatkan.

Daripada jumlah itu, hanya empat melibatkan kes import.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah, sebahagian besar kes tersebut direkodkan di Sabah, Selangor dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun pada masa sama tiga kematian dicatatkan. Ketiga-tiga kes itu berlaku di Sabah.

Ia menjadikan jumlah korban Covid-19 di Malaysia setakat ini sebanyak 348 orang.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menyatakan ada 2,555 kes sembuh direkodkan.

Ia menjadikan jumlah kes sembuh tertinggi setakat ini.

Perkembangan itu menjadikan kes aktif ketika ini ialah sebanyak 11,348 dan jumlah kes sembuh sebanyak 49,056.

Kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi pula ialah sebanyak 110.

Kes kematian pertama membabitkan pesakit ke-33,905 iaitu seorang wanita berusia 70 tahun. Dia menghembus nafas terakhir di Hospital Duchess of Kent, Sabah.

Kes kematian kedua pula melibatkan pesakit ke-50,960. Lelaki berusia 59 tahun itu meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Sabah. Dia mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan asma.

Pesakit ke-59,134 yang menjadi korban ketiga pula meninggal dunia di Hospital Tawau, juga di Sabah. Dia merupakan seorang wanita berusia 77 taun dan mempunyai penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi.

Menurut Noor Hisham, sepanjang tempoh 24 jam lalu tiada kes baru direkodkan di Pahang, Melaka dan Perlis.

Katanya, pada masa sama KKM mengesan enam kluster baru dikesan iaitu Bot Biru dan Blok 31 di Sabah, Gemilang di Johor, kawasan pembinaan Sungai Udang Kuala Lumpur, Chengal di Kelantan dan Damar Laut in Pulau Pinang.

Pada masa sama kata Noor Hisham dua kluster berakhir iaitu Tuguson dan Seri Gaya.

Tinggalkan komen anda