Belanjawan 2021: Ugutan atau Khilaf Tengku Zafrul?


shadow

“Kalau ditolak, dari segi ekonominya kita tidak dapat bayar komitmen kerajaan termasuk untuk membayar bantuan kepada rakyat,” beginilah kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 14 November lalu.

Tengku Zafrul dalam kenyataan yang sama telah membayangkan bahawa  gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan tidak akan dapat dibayar jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

Apakah ia satu ugutan terhadap penjawat awam?

Atau ia hanyalah kekhilafan Tengku Zafrul yang sanggup membuat apa sahaja dalam memastikan Belanjawan 2021 diluluskan?

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali dalam kenyataannya memberitahu bahawa wujudnya keterdesakan yang luar biasa atau pentingnya atau umumnya apa-apa perkhidmatan, Parlimen boleh untuk membenarkan sesuatu perbelanjaan itu untuk diluluskan bagi keseluruhan atau sebahagian tahun.

“Perkara 102 (b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Parlimen boleh “membenarkan perbelanjaan bagi seluruh atau sebahagian tahun itu selain mengikut Perkara 99 hingga 101, jika ternyata kepada Parlimen wajar berbuat demikian oleh sebab pentingnya atau umumnya apa-apa perkhidmatan atau oleh sebab hal keadaan yang luar biasa keterdesakannya”.

“Jika Belanjawan 2021 ditolak, ianya tidak menjejaskan pembayaran gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan.

Jelas beliau, kenyataan Menteri Kewangan tersebut jelas bermaksud bahawa Belanjawan 2021 adalah satu-satunya penentu kepada pembayaran gaji penjawat awam dimana jika ianya ditolak, maka ianya adalah penamatnya.

Malah katanya, Belanjawan 2021 bukanlah penamat kepada pembayaran gaji penjawat awam sebaliknya jika ia ditolak pihak yang paling terjejas kedudukannya adalah kerajaan Perikatan Nasional dan bukannya penjawat awam atau petugas barisan hadapan.

“Kedudukan penjawat awam dan petugas barisan hadapan tidak sedikitpun terjejas dengan pertukaran kerajaan yang baharu. Pada hakikatnya, Belanjawan 2021 bukanlah penamat kepada pembayaran gaji penjawat awam, namun adalah penamat kepada kerajaan Perikatan Nasional.

“Tindakan Menteri Kewangan tersebut juga jelas merupakan satu ugutan untuk menakut-nakutkan Ahli-Ahli Parlimen tertutamanya yang tidak menyokong kerajaan untuk meyokong Belanjawan 2021 tersebut, yang merupakan Belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

Muhammad Rafique menambah, kenyataan Tengku Zafrul adalah semata-mata bermotifkan politik untuk mempengaruhi Ahli-Ahli Parlimen pembangkang dan blok bebas untuk menyokong Belanjawan 2021 walaupun ianya mempunyai kelemahan yang besar, di mana jika ianya diluluskan nanti, akan dijadikan hujah oleh kerajaan Perikatan Nasional bahawa mereka masih mempunyai majoriti, sedangkan pada hakikatnya mereka telah hilang majoriti.

Justeru katanya, kenyataan Menteri Kewangan tersebut secara keseluruhannya adalah satu kekhilafan yang nyata (constitutionally incorrect) serta tidak mempunyai sebarang asas undang-undang yang semata-mata dibuat untuk menakut-nakutkan penjawat awam, petugas barisan hadapan, Ahli-Ahli Parlimen dan seluruh rakyat.

Tinggalkan komen anda