Bekas kakitangan mahu bawa Malindo Airways ke mahkamah


shadow

Selepas tidak puas dengan tindakan Malindo Airways Sdn Bhd (Malindo Airways) melaksanakan pemberhentian pekerja hampir 100 kakitangan, juruterbang dan pegawai kanan syarikat penerbangan itu kini bersedia mengambil tindakan undang-undang.

Pilihan itu diambil selepas mereka mendakwa dihentikan kerja walaupun sedia mengambil cuti panjang tanpa gaji (LTU) selama setahun.

Peguam yang mewakili mereka, A Sivanesan, berkata bahawa tindakan Malindo Airways memperhentikan pekerjanya menyalahi undang-undang.

“Kalau kita lihat, Malindo Airways tidak menamatkan operasinya. Mereka tidak menjual pesawatnya. Malah, mereka masih membuat bayaran kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) walaupun selepas pesawat mereka grounded (tidak terbang) di lapangan terbang.

“Ini menunjukkan mereka akan kembali beroperasi selepas pandemik Covid-19 reda. Jadi, kenapa perlu hentikan pekerja jika mereka sedia dan sanggup menerima tawaran cuti tanpa gaji untuk tempoh panjang?

“Ini adalah satu tindakan salah mengikut Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya Brickfields, Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu, Sivanesan yang juga Adun Sungkai mengadakan perbincangan dengan lapan bekas kakitangan Malindo Airways untuk memulakan tindakan undang-undang termasuk saman di mahkamah terhadap syarikat penerbangan tersebut.

“Hari ini saya jumpa lapan orang mewakili bekas kakitangan Malindo. Kebanyakan mereka juruterbang dan bekas pegawai kanan di syarikat itu.

“Saya dapati mendapati hampir 100 orang yang diberhentikan sedia mengambil tindakan undang-undang. Mereka berasa dianiayai oleh majikannya yang berkeras mahu menamatkan perkhidmatan kakitangannya,” katanya.

Macam pertahankan syarikat

Menurut Sivanesan lagi pihaknya memang difahamkan syarikat itu terjejas teruk, tidak beroperasi sepenuhnya dan tidak mampu membayar gaji.

Dalam keadaan begitu, katanya, kakitangan syarikat penerbangan tersebut sedia mengambil cuti tanpa gaji sehingga ia kembali boleh beroperasi.

Namun, katanya, Malindo Airways tetap masih mahu menamtkan perkhidmatan mereka.

“Kami percaya ini satu helah untuk syarikat itu mengambil semula mereka ini sebagai kakitangan baru dengan gaji yang lebih rendah berbanding sekarang,” katanya.

Untuk rekod, pada 1 Nov lalu Malindo Airways melaksanakan pemberhentian pekerja melibatkan 2,647 orang.

Pihak majikan juga menawarkan notis cuti tanpa gaji (untuk tempoh satu tahun) kepada 439 kakitangan dengan harapan ekonomi kembali pulih dan akan dipanggil bekerja semula, manakala seramai 347 lagi ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS), dengan baki 1,861 pekerja diberi notis pemberhentian kerja dengan pampasan minimum di bawah Akta Kerja 1955.

Sementara itu, Sivanesan yang juga Pengerusi Biro Buruh DAP Kebangsaan menggesa Kementerian Sumber Manusia (KSM) lebih peka dalam isu pemberhentian kerja melibatkan rakyat negara ini.

“Saya nampak kenyataan KSM seolah-olah mempertahankan tindakan Malindo Airways.

“Sebagai contoh, kenyataan menteri (M Saravanan) menyatakan bahawa 439 kakitangan yang menerima notis cuti tanpa gaji (untuk tempoh satu tahun), mereka boleh menganggap bahawa kontrak perkhidmatan mereka telah terhenti.

“Ini satu kenyataan mengelirukan. Adakah kementerian memberikan kebenaran kepada Malindo Airways untuk menawarkan tawaran baru (gaji rendah) selepas dianggap perkhidmatan mereka selama ini terputus?” tanya Sivanesan.

Demi kebaikan kedua-dua pihak, katanya, KSM harus menasihatkan Malindo Airways agar menarik balik surat berhenti kerja dan menawarkan semula kerja dengan syarat mereka mengambil cuti tanpa gaji sehingga beroperasi semula.

“Perkhimatan mereka juga semasa cuti tanpa gaji haruslah dianggap berlarutan,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi KSM untuk mendapatkan ulasan.-Mkini

Tinggalkan komen anda