Dua maut tertimbus dalam tanah runtuh di sebuah resort terkemuka di Tambun dekat sini, awal pagi ini.
Mangsa pertama yang ditemui 9.55 pagi tadi ialah lelaki dikenali sebagai Ooi Chee Wei, 39, manakala mayat seorang wanita dipercayai pasangannya, Lee Tze Juin, 32, ditemui 5 minit kemudian.
Pemangku Ketua Polis Perak, Goh Boon Keng berkata, kedua-dua mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat di bahagian jakuzi vila dalam resort itu yang ditimbus tanah runtuh.
“Polis menerima panggilan berhubung kejadian tanah runtuh daripada pemilik resort tersebut pada 2.15 pagi, di mana dipercayai terdapat mangsa terperangkap di dalamnya.
“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan serta-merta, namun terpaksa dihentikan berikutan terdapat pergerakan tanah di lokasi kejadian.
“Pencarian kemudian disambung semula 7 pagi tadi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Goh berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.-FMT
Tinggalkan komen anda