Tiada portfolio kesihatan dalam kabinet Sabah


shadow

Barisan penuh kabinet Sabah secara rasmi mengangkat sumpah pada Khamis lalu namun tidak ada portfolio kesihatan diberikan kepada mana-mana menteri walaupun Sabah menjadi pusat gelombang Covid-19 terbaru di negara ini.

Ketika dihubungi, timbalan ketua menteri Sabah Bung Moktar Radin menjelaskan perkara itu bagi mengelakkan pertindihan tugas kerana portfolio kesihatan berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, Bung memberitahu Malaysiakini bahawa kabinet Sabah akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat yang akan diadakan pada 14 Okt.

“Kami akan membincangkan perkara itu pada Rabu depan. Kita tidak akan menambahkan menteri lain (dalam kabinet) tetapi akan memberikan portfolio ini kepada salah seorang menteri (yang ada),” katanya.

Bung, yang juga menteri kerja raya Sabah berkata portfolio kesihatan tidak diwujudkan di zaman BN seperti dilakukan kerajaan Warisan sebelum ini.

“Kami ingin memastikan tidak ada pertindihan (tugas). Tetapi rakyat tetap dijaga, ”tambahnya.

Menurut Bung, segala maklumat berkaitan Covid-19 di Sabah akan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 yang baru dibentuk yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri, Safar Untong.

Adun Tanjung Papat dari DAP, Frankie Poon merupakan menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat ketika pentadbiran kerajaan Warisan.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Menteri Hajiji Mohd Noor untuk mendapatkan respons, yang semalam disahkan positif Covid-19.

Pada 1 Okt lalu, Hajiji mengumumkan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 akan menggantikan Sabah Covid-19 Command Centre yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Selain pembentukan jawatankuasa baru, pelantikan menteri kesihatan yang baru bagaimanapun tidak ada disebut.

Ketika pentadbiran kerajaan Warisan, tiga kementerian baru ditubuhkan iaitu kesihatan dan kesejahteraan rakyat, pendidikan dan undang-undang dan hal ehwal orang asli.

Bagaimanapun kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan untuk kembali kepada struktur eksekutif yang digunakan ketika zaman BN.

Timbalan Ketua Menteri II, Jeffrey Kitingan mendakwa portfolio kesihatan telah dimasukkan di bawah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmey Yahya.

“(Portofolio ini) tidak mempunyai kuasa eksekutif, jadi kami mengelompokkannya bersama.

“Maklumat yang relevan mengenai Covid-19 boleh diperoleh secara langsung dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, Shahelmey mendakwa kesihatan tidak berada di bawah portfolio beliau dan tugasnya tertumpu kepada kesejahteraan rakyat.

“Kita tunggu Rabu depan untuk menentukan skop tugas. Saya baru terima pelantikan dua hari lalu, butiran (mengenai skop tugas) belum dimuktamadkan, ”tambah Shahelmey.

Sementara itu, menyedari tahap keseriusan Covid-19 di Sabah, Adun Tanjung Keramat itu mencadangkan anggota exco dilantik bagi mengendalikan isu kesihatan.

“Kesihatan, pendidikan dan keselamatan, semua ini adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan. Jadi mungkin (kita) boleh mempunyai exco untuk bekerjasama dengan pihak persekutuan,”katanya.

Ketiadaan portfolio kesihatan dalam kabinet GRS mendapat kritikan daripada DAP dan PKR.

Adun Luyang (DAP), Phoong Jin Zhe berkata adalah tidak wajar memansuhkan Kementerian Kesihatan ketika wabak itu semakin teruk melanda Sabah.

 “Ini bukan hanya langkah kebelakang tetapi juga menunjukkan kerajaan negeri lari daripada tanggungjawab dengan menyerahkan hak kita kepada kerajaan persekutuan,” kata bekas menteri belia dan sukan negeri itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew juga menyatakan kekecewaannya atas ketiadaan jawatan menteri kesihatan dalam kabinet Sabah.

“Kesihatan adalah bidang utama yang menjadi perhatian. Sekarang ini, Sabah melalui gelombang ketiga wabak Covid-19, dengan jumlah kes tertinggi di negara ini,” kata Adun Api-Api itu dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa kerajaan GRS dibidas kerana lambat mengeluarkan data Covid-19 di negeri ini berbanding pentadbiran sebelumnya.

Jabatan Kesihatan Sabah juga dikritik kerana berkongsi data Covid-19 yang kurang terperinci, berdasarkan daerah dan bukannya sub daerah seperti dilakukan kerajaan Warisan sebelum ini.-Mkini

Tinggalkan komen anda