Syarikat induk Malaysia Airlines berdepan masalah aliran tunai, kata laporan


shadow

MALAYSIA Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Bhd bakal berdepan kesukaran membayar sewa pesawat sekiranya tidak mendapat pembiayaan tambahan daripada Khazanah Nasional Berhad, lapor Reuters.

Dalam surat dilihat Reuters, kumpulan itu memohon diskaun besar sewa pesawat daripada pemajaknya dalam usaha menstrukturkan semula pelan pembayaran. 

Menurut Reuters, surat itu menyatakan yang MAG mengeluarkan belanja operasi hangus yang puratanya mencecah AS$84 juta sebulan tetapi hanya mempunyai aliran tunai sebanyak AS$88 juta setakat 31 Ogos lalu, syarikat juga menerima pembiayaan tambahan sebanyak AS$139 juta daripada Khazanah, satu-satunya pemegang kepentingan syarikat penerbangan negara itu.

“Berdasarkan kadar operasi semasa, ketiadaan pembiayaan tambahan daripada pemegang kepentingan, besar kemungkinan kumpulan tidak lagi dapat memenuhi tanggungjawab, termasuk bayaran kepada pemajak selepas November 2020,” kata laporan.

Reuters berkata surat dilihatnya dihantar bulan lepas walaupun tarikh tepat surat dikeluarkan tidak dapat dipastikan.

MAG dan Khazanah masih tidak menjawab permintaan ulasan isu itu yang dibuat Reuters. 

MAS bergelut dengan pelbagai masalah selepas ditimpa dua tragedi malang pada 2014- kehilangan pesawat MH370 dan tragedi MH17 ditembak jatuh di Ukraine.

Khazanah mengambil alih syarikat penerbangan itu pada tahun sama dan merancang pelan penstrukturan semula bernilai AS$1.5 bilion, tetapi ia tergendala kerana pandemik Covid-19.

MAS merancang untuk berunding mendapatkan diskaun besar daripada pemajak melalui pelan penstrukturan semula bayaran yang akan dilakukan menerusi proses perundangan di UK, kata sumber yang enggan dinamakan kepada Reuters.

Selain Malaysia Airlines Bhd, MAG juga mengawal beberapa buah syarikat penerbangan tempatan lain dan terlibat dalam penyewaan pesawat dan perkhidmatan lapangan. 

Tinggalkan komen anda