Sektor borong dan runcit terus pulih pada Ogos


shadow

Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan RM111.4 bilion pada Ogos 2020 dengan pertumbuhan -2.3%tahun ke tahun berbanding -3.5% pada Julai 2020, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin, nilai jualan bulan ke bulan terus menunjukkan pertumbuhan positif 2.5% pada Ogos 2020 berbanding Julai, 2020 dan merupakan jualan tertinggi sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan Covid-19.

Jumlah ini mengatasi nilai jualan sebelum PKP yang dicatatkan pada Februari 2020 berjumlah RM109.0 bilion.

“Semua subsektor terus menunjukkan pemulihan, didorong oleh kenderaan bermotor yang merekodkan pertumbuhan positif 2 bulan berturut-turut, mencatatkan 1.0% berbanding Ogos 2019.

“Perdagangan runcit turut berada di landasan pemulihan dengan -1.5% daripada -3.8% pada bulan sebelumnya, manakala perdagangan borong juga bertambah baik daripada -4.5% pada Julai 2020 kepada -3.9% pada bulan Ogos tahun ini,” kata beliau.

Mengenai prestasi subsektor, Uzir berkata, jualan kenderaan bermotor merekodkan pertumbuhan tertinggi iaitu 3.1% tahun ke tahun untuk mencapai RM7.9 bilion.

Pertumbuhan yang memberangsangkan ini adalah berikutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Ini diikuti oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal yang mencatatkan nilai jualan RM1.0 bilion, meningkat 2.4%, jelas beliau.

Bagaimanapun beliau berkata, jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor menguncup 2.6% untuk merekodkan RM3.1 bilion, sementara penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor juga merosot 2.3% kepada RM1.7 bilion.

Bagi perdagangan runcit Uzir berkata, pertumbuhan negatif 1.5% adalah disebabkan kejatuhan dalam jualan barangan tidak penting, iaitu jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi jatuh -9.7%, jualan runcit di kedai pengkhususan (-7.2%), jualan runcit peralatan isi rumah (-4.2%) dan jualan runcit kelengkapan informasi dan komunikasi (-3.8%).

Sementara itu, jualan barangan penting merekodkan pertumbuhan positif, terutama jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang mencatatkan kenaikan 4.7% kepada RM16.7 bilion tahun ke tahun.

Beliau berkata, indeks jualan runcit dalam talian yang menggambarkan aktiviti e-dagang turut berkembang dengan merekodkan pertumbuhan 37.4% tahun ke tahun.

Manakala bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit tumbuh -2.4% tahun ke tahun dan kejatuhan ini disebabkan oleh perdagangan borong yang merekodkan -3.4%.

Ini diikuti oleh perdagangan runcit yang menguncup 2.3%, manakala kenderaan bermotor terus berkembang untuk mencatatkan pertumbuhan positif 0.9%.

Bagi indeks volum pelarasan musim, ia meningkat 2.4% bulan ke bulan, tambah beliau.-FMT

Tinggalkan komen anda