Dua kumpulan peruncit percaya amalan membeli-belah secara konvensional akan terus bertahan walaupun semakin ramai rakyat Malaysia membeli belah secara atas talian berikutan pelaksanaan perintah sekatan pergerakan.
Pengarah Urusan Retail Group Malaysia, Tan Hai Hsin dan presiden Persatuan Pusat Membeli-Belah Malaysia Teo Chiang Kok memberitahu FMT bahawa mereka percaya e-runcit tidak akan menggantikan premis fizikal sepenuhnya.
Perintah sekatan yang dikenakan tahun ini memaksa pelanggan dan peruncit menyesuaikan diri dengan sekatan itu. Ini menyaksikan banyak perniagaan beralih ke jualan atas talian dan ramai pengguna menggunakan platform itu kerana keperluan.
“Ramai rakyat Malaysia terpaksa belajar bagaimana untuk menggunakan pelbagai aplikasi bagi memesan barang dan perkhidmatan dalam tempoh itu,” kata Tai.
Namun tambahnya, ia bukanlah “satu-satunya masa depan bagi peruncitan” dengan merujuk kepada peningkatan jumlah orang ramai di pusat membeli-belah berikutan kelonggaran sekatan pada Jun.
Mengulas mengenai masalah yang dihadapi pembeli atas talian seperti kelewatan penghantaran, salah faham produk dan kebimbangan penipuan bank, Tan percaya pendekatan “saluran omni” adalah langkah ke hadapan, dengan platform runcit fizikal dan atas talian saling melengkapi antara satu sama lain.
“Cabaran utama adalah integrasi lengkap 2 format perniagaan itu, yang melibatkan pengguna membeli secara atas talian dan kembali di kedai atau membeli secara atas talian dan memulangkan produk ke kedai atau membeli di kedai dan mengembalikannya melalui pos,” katanya.
Mengakui peruncit atas talian kini mendapat tempat, Teo berkata, pembeli masih kembali ke pusat membeli-belah selepas sekatan pergerakan awal ditarik balik.
“Setakat Ogos, jumlah pelanggan di pusat beli-belah dianggarkan 75% daripada angka pra-PKP, dengan beberapa tempat menunujukkan angka lebih baik,” katanya, tetapi mengakui lonjakan kes Covid-19 pada September menyaksikan jumlah itu berkurang semula.
“Jumlah pelanggan dan perbelanjaan lebih stabil hanya akan bertambah semula apabila pembeli kembali yakin dan kawalan pergerakan bersyarat ditamatkan sepenuhnya.”
Beliau merujuk kepada peruncit atas talian yang mengembangkan cawangan dalam bentuk fizikal sebagai contoh kepentingan peruncitan fizikal.
“Hakikatnya kedua-dua pembelian secara atas talian dan fizikal perlu menyatu dalam membentuk model perniagaan baru supaya terus maju.”
Beliau menjangka kompleks beli-belah akan pulih dengan cepat selepas isu kesihatan ditangani, dengan berkata, membeli-belah secara atas talian tidak boleh menggantikan sepenuhnya pengalaman membeli-belah di pusat beli-belah.-Mkini
Tinggalkan komen anda