Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kawasan Penjara Alor Setar, Kedah disambung 14 hari lagi sehingga 1 Nov ini.
PKPD yang dilaksanakan di kawasan itu mulai 5 Okt lalu sepatutnya berakhir hari ini.
Terdapat 1,178 kes positif Covid-19 membabitkan 1,137 tahanan dan 41 kakitangan penjara itu direkodkan setakat semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat kerana masih terdapat kes positif baru dan atas permohonan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah serta nasihat Kementerian Kesihatan.
“Pelaksanaan PKPD ini bagi membendung penularan Covid-19 di dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.
“Pelanjutan ini bagi membolehkan pelaksanaan pemantauan dan saringan berterusan dalam usaha memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya di dalam Penjara Alor Setar, khasnya di kalangan kakitangan,” katanya pada sidang media hari ini.
Sementara itu, Ismail menasihatkan majikan di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) membenarkan pekerja bekerja dari rumah, selepas 3 kluster baru dikesan di Lembah Klang yang membabitkan jangkitan di tempat kerja.
Beliau berkata, pihaknya akan bawa isu itu ke mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
“Ini supaya mesyuarat boleh memutuskan apakah tindakan seterusnya bagi pekerja terus bekerja di pejabat atau syarikat perniagaan ini atau tidak.”
Ingkar PKPP
Ismail berkata, 661 individu ditahan kerana mengingkari perintah kawalan pergerakan pemulihan semalam.
Daripada jumlah itu, 632 orang didenda, 27 direman dan 2 diberikan jaminan.
Kesalahan yang mereka lakukan termasuk tidak memakai pelitup muka (223), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (112), penjarakan fizikal (191), langgar syarat/perintah di kawasan PKPB (75), aktiviti di pusat hiburan (45) dan lain-lain (15).
Beliau berkata, polis turut menahan 72 pendatang asing tanpa izin dan merampas 35 kenderaan menerusi 261 sekatan jalan di seluruh negara semalam.
Tinggalkan komen anda