PKPB: Arahan kerja dari rumah buat semua pekerja pengurusan di Zon Merah


shadow

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakub berkata susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah minggu lalu, kerajaan juga memutuskan bahawa semua pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta di bahagian pengurusan dan pengawasan di Zon Merah tidak lagi dibenarkan ke pejabat.

Bercakap pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur, katanya, mereka perlu bekerja dari rumah berkuat kuasa Rabu, 22 Oktober ini.

Ismail Sabri berkata usaha kerajaan itu bagi membendung penularan wabak Covid-19, dengan mengurangkan jumlah orang ramai yang bekerja di pejabat dan kilang.

Menurutnya, syarikat perlu mengeluarkan surat kepada pekerja di kedua-dua bahagian itu yang membolehkan mereka bekerja dari rumah.

Dia berkata tindakan itu akan mengurangkan 1 juta pekerja – 800 ribu di sektor perindustrian, dan 200 ribu di sektor awam – daripada datang ke pejabat atau kilang masing-masing.

Sementara itu, mereka yang perlu ke pejabat, katanya perlu menjalani ujian swab.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menanggung kos ujian itu, katanya.-Mkini

Tinggalkan komen anda