PKP tak dikuatkuasakan semula, situasi terkawal – Ismail Sabri


shadow

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menguatkuasakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) seluruh negara walaupun jumlah kes Covid-19 harian mencapai tahap tertinggi semalam.

Ismail berkata, ini kerana 287 kes baru semalam kebanyakannya melibatkan kes di dalam penjar.

“Adakah PKP akan dilaksanakan di seluruh Malaysia? Saya tahu banyak orang ingin tahu kerana ada mesyuarat khas oleh Majlis Keselamatan Negara hari ini.

“Orang ramai bertanya adakah akan ada PKP? Jawapannya tidak,” katanya pada sidang media di Putrajaya yang disiarkan secara langsung di TV dan media sosial.

Ismail berkata perincian statistik menunjukkan bahawa orang ramai tidak perlu panik meskipun masih perlu berhati-hati.

“Kes-kes itu semakin meningkat tetapi ketika kita teliti jumlahnya, saya harap orang tidak terlalu panik. Saya tahu orang mungkin memarahi saya kerana mengatakan ‘jangan panik’, tetapi di Kedah misalnya, terdapat 129 kes semalam.

“Melihat perinciannya, 128 kes tersebut berada di penjara yang merupakan Kluster Tembok. Hanya seorang dari luar,” katanya.

Di Sabah pula, kata Ismail, dari 113 kes baru, 35 di dalam penjara iaitu melibatkan Kluster Benteng Lahad Datu.

Ismail menambah bahawa walaupun penularan di Sabah tinggi, kes-kes tersebut berada di kawasan-kawasan yang telah dikenakan sekatan PKP Diperkatatkan Secara Pentadbiran.

Dia juga berkata bahawa walaupun Selangor mempunyai lebih daripada 30 kes, negeri-negeri lain hanya mencatat antara satu hingga tiga kes.

Ismail mengatakan sekiranya PKP harus dilaksanakan, ia akan dibuat secara bersasar.

Dia menekankan bahawa buat masa ini, tidak akan ada PKP seluruh negara.

“Sebagai contoh, jika terdapat banyak kes di Shah Alam, kita tidak akan tutup seluruh negeri. Mungkin kita akan tutup sebuah flat atau satu atau dua kampung,” katanya.

Semalam, Malaysia mencatatkan 287 kes baru, yang merupakan kes harian tertinggi sejak bermulanya wabak ini.

Malaysia melaksanakan PKP pada 18 Mac yang menyaksikan sekatan ketat terhadap hampir semua kegiatan ekonomi dan sosil susulan perhimpunan yang menyebabkan lonjakan kes Covid-19.

Sekatan itu dilonggarkan secara berperingkat mulai 13 Mei selepas kes harian mula menurun.

Bagaimanapun, gelombang kes baru melanda negara ini.

Gelombang terbaru melibatkan pendatang tanpa izin dalam tahanan yang menjangkiti kakitangan penjara dan kemudian merebak ke luar.

Perkembangan itu hadir ketika kempen pilihan raya Sabah berlangsung.

Ketika pilihan raya berakhir pada 26 September, banyak ahli politik dan individu yang terlibat dalam kempen dikuarantin, malah dijangkiti Covid-19 dan menyebarkan wabak berkenaan ke negeri lain.

Kementerian Kesihatan kini menetapkan semua ketibaan dari Sabah menjalani ujian swab.

Tinggalkan komen anda